Netanyahu, menteri 'ektremis' Israel bersembunyi kerana takut
TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan beberapa menteri Kabinet perang bersembunyi di kubu bawah tanah ketika Iran melancarkan hampir 200 misil balistik jarak jauh ke atas Tel Aviv.
Media tempatan melaporkan pemimpin 'ekstremis' itu bergegas dipindahkan ke kemudahan berkenaan.
"Netanyahu bersama barisan menteri beliau berada di Baitulmaqdis ketika Operasi Janji Benar 2.0 itu bermula pada jam 8.15 malam (waktu tempatan).
"Ia dilancarkan tiga hari selepas pemimpin Hizbullah, Sayyed Hassan Nasrallah dan beberapa pejuang gerakan itu terkorban dalam kempen pengeboman di pinggir selatan Beirut," jelas laporan itu lagi.
Netanyahu yang ketakutan turut mengarahkan menteri Kabinet beliau agar terus berlindung sehingga hujan misil itu reda.
"Iran telah membuat kesilapan besar dan kami tidak akan berdiam diri. Kami akan bertindak balas terhadap sesiapa sahaja yang menyerang kami," ugut Netanyahu yang sekali lagi membuat provokasi terhadap seteru lama mereka itu.
Menteri Pertahanan, Yoav Gallant yang mengawasi hujan peluru yang berjaya menembusi sistem pertahanan udara mereka juga mengancam untuk bertindak balas terhadap Teheran.
"Iran tidak ambil pengajaran dan bakal terima akibat dahsyat," katanya dengan angkuh. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!