PAC turun padang pastikan pelaksanaan projek bermanfaat untuk rakyat

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati
A
A
A

KOTA KINABALU - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan terus melaksanakan tindakan proaktif turun padang bagi melihat sendiri permasalahan dihadapi rakyat sekali gus memastikan pelaksanaan projek kerajaan benar-benar bermanfaat.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pendekatan itu juga mengeratkan lagi kerjasama antara PAC Parlimen dan negeri yang sememangnya mempunyai punca kuasa sama iaitu untuk memantau segala perbelanjaan dan juga kewangan kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAC Parlimen buat kali pertama mengadakan lawatan kerja ke Sandakan dan Tawau bagi prosiding isu pengurusan air negara bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Bekalan Air Luar Bandar Sabah dan Sarawak di bawah Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

"Apabila adakan lawatan kerja kita dapat tengok sendiri bagaimana projek itu dilaksanakan dan mendapat maklum balas daripada komuniti yang terlibat dan ini sangat penting berbanding hanya duduk di dalam bilik prosiding serta mendengar laporan daripada orang lain.

"Tetapi kali ini kita turun padang dan kita lihat sendiri terutama sekali apabila masalah melibatkan teknikal,” katanya kepada pemberita selepas Prosiding Pengurusan Air Negara dan Bekalan Air Luar Bandar Sabah dan Sarawak di sini hari ini.

Beliau berkata dalam lawatan kerja yang telah diadakan, PAC dimaklumkan mengenai isu-isu pelaksanaan projek terutamanya bagi perkara yang ditegur oleh pihak audit dalam laporannya.

"PAC mengambil maklum usaha dan penambahbaikan yang dilaksanakan kementerian iaitu PETRA dan KKDW serta agensi-agensi di bawah kementerian dan kerajaan negeri yang terlibat dalam memastikan projek disiapkan dalam tempoh dijadualkan,” katanya.

Pada masa sama, Mas Ermieyati berkata, dalam prosiding berkenaan PAC negeri turut hadir untuk mendengar penjelasan daripada pihak PETRA dan KKDW berhubung kedua-dua isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"PAC Parlimen berharap projek yang dilaksanakan di peringkat negeri Sabah juga dapat terus dipantau oleh PAC negeri. PAC Parlimen bercadang menjemput PAC negeri menyertai setiap prosiding lawatan kerja di projek membabitkan jabatan kerajaan peringkat negeri tetapi mendapat peruntukan kerajaan pusat,” katanya.

Beliau berkata, hasil prosiding berkenaan belum boleh dikeluarkan kerana ia akan memberi kesan kepada laporan yang bakal dibentangkan oleh PAC.

"Tetapi boleh saya katakan pendekatan yang kita lakukan ini sebenarnya sangat penting dan mengharapkan supaya dapat dilaksanakan untuk isu lain yang berbangkit supaya pendekatan yang kita gunakan ini dapat memberikan impak.

"PAC akan memuktamadkan Laporan PAC serta memberikan rumusan dan syor keseluruhan terhadap isu Pengurusan Air Negara dan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak dan Sabah berdasarkan penjelasan serta keterangan saksi prosiding termasuk yang hadir pada hari ini,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!