'Bukan tanah mendap, tapi pembetungan pecah' - JKR Melaka

Lubang yang berlaku di Jalan Syed Abdul Aziz, Melaka Raya di sini, pada Rabu.
Lubang yang berlaku di Jalan Syed Abdul Aziz, Melaka Raya di sini, pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka menafikan insiden lubang benam yang berlaku di Jalan Syed Abdul Aziz, Melaka Raya di sini, pada Rabu, disebabkan oleh kejadian tanah mendap di kawasan tambak laut itu.

Pengarahnya, Ir Mohamad Salzeli Mokhtar, berkata, insiden lubang selebar satu meter, panjang 3.5 meter dengan kedalaman 1.7 meter itu berpunca daripada pembetung kekotak yang pecah.

Mohamad Salzeli
Mohamad Salzeli

"Keadaan itu berlaku apabila kegagalan culvert di tapak yang didakwa berpunca daripada muatan yang lebih melalui jalan itu.

"Kita akan segera melakukan kerja-kerja pembaikan di jalan persekutuan itu bagi tempoh jangka pendek dan panjang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian di Melaka Raya, di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut Salzeli berkata, jabatan itu juga akan membuat laluan kontra menggunakan jalan bersebelahan selain mengehadkan muatan sehingga 10 tan sahaja bagi menggelak kejadian tidak diingini berlaku.

"Kita juga akan buat permohonan peruntukan segera daripada Ibu Pejabat JKR untuk membolehkan kerja-kerja pembinaan kekal demi keselamatan pengguna, " ujarnya.

Sebelum itu tular di media sosial berhubung dakwaan wujudnya lubang benam berpunca daripada tanah mendap di kawasan tambak laut sejak lebih 40 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Kejadian itu juga dipercayai telah mengakibatkan sekurang-kurangnya dua penunggang motosikal cedera ketika cuba mengelak daripada terjunam ke dalam lubang sedalam 1.7 meter itu.

Mangsa kejadian yang juga penghantar makanan, Izzat Irsyaduddin Daud,36, berkata, dia melalui jalan itu sekitar jam 11 pagi nyaris terjatuh dalam lubang berkenaan.

"Masa kejadian saya dalam perjalanan nak menghantar pesanan pelanggan dan nasib baik saya sempat mengelak jika tidak tentu saya dah terjunam dalam lubang tersebut.

"Gara-gara nak mengelak lubang itu saya terlanggar tebing hingga mengalami luka pada ibu jari kaki," katanya.

Jelasnya, sebuah lori juga nyaris terjunam ke dalam lubang berkenaan namun berjaya meneruskan perjalanan selain seorang lagi penunggang motosikal turut tercedera.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!