Barat ambil peluang campur tangan konflik Iran-Israel
WASHINGTON - Amerika Syarikat selaku sekutu kuat Israel bertindak memperkukuhkan pasukannya di Asia Barat dengan mengerahkan ribuan tentera tambahan.
Pentagon mengesahkan ia melibatkan unit baharu dan menempatkan semula kedudukan pasukan sedia ada di rantau berkenaan.
Langkah yang jelas satu bentuk campur tangan asing di Asia Barat dilaksanakan di tengah-tengah ancaman perang serantau lebih meluas setelah konflik Hizbullah-Tel Aviv semakin meruncing.
“Beberapa unit telah dikerahkan untuk menyokong pasukan sedia ada. Pasukan yang terlibat adalah F-16, F-15E, A-10, F-22 dan anggota berkaitan,” kata Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon, Sabrina Singh.
Pusat Perintah AS (CENTCOM) pada Selasa mengumumkan tiga skuadron tambahan pesawat perang bakal tiba di rantau berkenaan untuk menyertai satu pasukan yang dikerahkan sebelum ini.
Sementara itu, Britain mengesahkan penglibatan mereka untuk menyokong Israel meskipun Tel Aviv yang menjadi dalang sebenar mengeruhkan lagi situasi di rantau Asia Barat.
Setiausaha Pertahanan, John Healey berkata, pasukan tentera mereka terbabit secara langsung ketika Israel dihujani peluru berpandu dilancarkan Iran, namun beliau tidak memberikan butiran lanjut.
Menerusi laporan BBC, ia menyatakan pasukan yang terbabit adalah unit jet pejuang sama seperti ketika serangan pertama Teheran di bawah Operasi Janji Benar ke atas Tel Aviv pada April lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!