258 bungkus air ketum, 104kg daun ketum dirampas
KEPALA BATAS - Polis menahan enam lelaki termasuk dua orang warga Myanmar serta merampas 104 kilogram (kg) daun ketum dan 258 bungkus air ketum dalam lima serbuan berasingan di sekitar Seberang Perai Utara (SPU) di sini semalam.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, enam lelaki berusia 19 hingga 67 tahun itu ditahan secara berasingan bermula jam 5 petang hingga 9 malam semalam.
"Dalam serbuan itu polis berjaya merampas sejumlah dadah jenis ganja, air ketum, daun ketum dan peralatan memproses air ketum dengan nilai rampasan berjumlah RM3,500 yang dipercayai untuk pasaran tempatan.
"Dadah dan ketum yang dirampas boleh digunakan sehingga 900 orang penyalahgunaan daun ketum,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan pertama di Jeti Nelayan Bagan Ajam, Butterworth polis menahan seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang merupakan penjual air ketum dengan rampasan 78 bungkus air ketum.
"Dalam serbuan kedua di sebuah rumah tidak bernombor di tepi Jalan Bagan Dalam, Butterworth polis berjaya memberkas dua lelaki warga Myanmar berumur 24 dan 27 tahun ketika sedang leka menjalankan kegiatan menjual air ketum kepada pelanggan dengan rampasan sebanyak 120 bungkus air ketum," katanya.
Noorzainy berkata, dalam serbuan ketiga pula polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Ujung Batu, Butterworth dan merampas 28kg daun ketum serta 50 liter air ketum.
"Serbuan keempat dan kelima di Tasek Gelugor melibatkan penahanan dua lelaki berusia 42 dan 67 tahun. Dalam dua serbuan itu polis merampas 3.3 gram ganja, 76kg daun ketum, 60 bungkus air ketum dan 50 liter air ketum,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kesemua bekalan daun ketum itu diperoleh dari Kedah dan Perlis sebelum mereka memprosesnya menjadikan air ketum dan menjual di sekitar Butterworth.
Menurutnya, aktiviti penjualan air ketum itu adalah untuk pelanggan tempatan serta warga Myanmar dan dipercayai kegiatan itu dijalankan sejak setahun yang lalu.
"Kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 8 Feb ini bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!