Isu khemah biru: Negeri Sembilan adakan perbincangan dengan pengusaha
SEREMBAN - Proses perbincangan sedang dijalankan bersama pengusaha 'khemah biru' di kawasan Pantai Telok Kemang di Port Dickson susulan ia menimbulkan rungutan dalam kalangan pengunjung baru-baru ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, isu berkaitan kawasan berkenaan akan diselesaikan menjelang penghujung tahun ini.
"Perbincangan itu dilakukan bagi mencari kaedah penyelesaian termasuk berkemungkinan konsep baharu khemah akan digunakan.
"Daripada terus pergeseran dalam isu berkenaan dengan pengusaha, adalah lebih baik perbincangan dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian menang-menang," katanya kepada pemberita.
Ujarnya, tindakan tersebut diambil agar pengusaha boleh terus mencari rezeki seperti yang dilakukan sejak sekian lama di samping pemandangan adalah lebih baik dan persekitaran lebih selesa.
“Kerajaan negeri beranggapan daripada berseteru, kita akan mencadangkan beberapa perkara, insya-ALLAH diselesaikan hujung tahun ini. Konsepnya lain, 1 Januari akan berubah, rundingan sedang berjalan,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Port Dickson mempunyai sembilan pantai lain yang boleh dikunjungi dan tidak berdepan masalah pemasangan khemah.
“Port Dickson ada sembilan pantai lain yang tidak dibenarkan memasang khemah dan kerusi angin, itu juga dikawal, ada (pantai) langsung tiada supaya memberikan keselesaan kepada pengunjung.
“Tetapi ada yang tidak memahami, janganlah kerana isu khemah di satu kawasan, ia memburukkan keadaan pelancongan, itu tidak adil.
"Saya juga minta peniaga menghormati undang-undang, kita ada peraturan, mungkin sekarang kita boleh bertolak ansur tetapi jika ada antara mereka tidak boleh menerima, kerajaan akan ambil tindakan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!