JAIS tahan 108 pengikut GISBH terlibat kesalahan jenayah syariah

JAIS telah menahan 108 individu yang disyaki terlibat dengan GISBH dalam pelbagai kesalahan berkaitan jenayah syariah. (Gambar kecil: Mohd Shahzihan)
JAIS telah menahan 108 individu yang disyaki terlibat dengan GISBH dalam pelbagai kesalahan berkaitan jenayah syariah. (Gambar kecil: Mohd Shahzihan)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menahan 108 individu yang disyaki terlibat dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dalam pelbagai kesalahan berkaitan jenayah syariah.

Penahanan individu itu meliputi perkara berkaitan kesalahan akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, siri tangkapan itu dijangka akan berterusan melibatkan suspek yang disyaki dan telah dikenalpasti berdasarkan risikan, aduan dan maklumat yang diterima oleh pihak JAIS.

"Sehingga kini, hasil siasatan terhadap 108 suspek, JAIS mendapati wujud beberapa fakta mengenai amalan dan kepercayaan suspek yang bercanggah dengan fatwa dikuatkuasakan.

"Ini termasuklah amalan mempercayai beberapa perkara dikaitkan dengan pimpinan adalah sesuatu yang memberikan keberkatan kepada ahli dan membolehkan ahli masuk syurga.

"Selain itu, mengamalkan Aurad Muhammadiah, percaya Abuya tidak mati dan berada di alam ghaib, mayat Abuya terapung kerana ALLAH angkat Abuya, Rasulullah atau Abuya hadir dalam majli tertentu anjuran kumpulan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Shahzihan memberitahu, siasatan juga mendapati bahawa perkahwinan dan perceraian diatur oleh pemimpin kumpulan dan menjalankan akad perkahwinan dengan cara ditentukan oleh pemimpin.

"Dapatan siasatan juga menunjukkan perkahwinan tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen sah.

Artikel Berkaitan:

"Perkahwinan antara anak dara dan teruna tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor serta poligami yang dibuat tanpa kebenaran Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa," ujar beliau.

Beliau memberitahu, situasi itu menyebabkan berlaku kecelaruan dalam penentuan nasab, status perkahwinan serta dokumentasi perkahwinan ibu bapa kanak-kanak pengikut GISBH.

Ujar beliau, perkara itu dijangka memberi kesan terhadap kanak-kanak yang telah diselamatkan sebelum ini apabila mereka menginjak ke alam remaja dan dewasa kelak.

"Tidak mustahil keadaan ini berpotensi besar akan menjejaskan penentuan nasab dan memungkinkan berlakunya pernikahan fasid atau wati’ syubhah," kata beliau.

Dalam pada itu, itu, katanya, JAIS berkerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara serta agensi berkepentingan lain untuk mengenal pasti salasilah sebahagian besar dari 435 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!