Tidak perlu guna MyDigital ID untuk MyJPJ bermula 10 Oktober

Anthony Loke. Foto Bernama
Anthony Loke. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Orang ramai tidak perlu menggunakan MyDigital ID untuk mendaftar masuk aplikasi MyJPJ bermula 10 Oktober ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Dalam sidang media di sini pada Rabu, beliau berkata, pengguna aplikasi MyJPJ boleh mendaftar masuk aplikasi berkenaan seperti biasa.

"Orang ramai tidak perlu ada kebimbangan bahawa selepas 10 Oktober ini tidak boleh pakai MyJPJ. Itu tidak wujud. MyJPJ boleh terus diakses dengan mudah dengan cepat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pengguna MyJPJ perlu mendaftar masuk aplikasi itu menggunakan MyDigital ID bermula 10 Oktober ini.

MyDigital ID merupakan satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, arahan berhubung keperluan penggunaan MyDigital ID dalam MyJPJ dikeluarkan menerusi pengumuman tetingkap timbul ('pop-up announcement') dalam aplikasi itu.

Anthony berkata, arahan yang dikeluarkan itu bukan pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengangkutan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan telah diturunkan serta-merta.

"Maklumat yang disalurkan melalui 'pop-up' MyJPJ telah memberikan maklumat yang mungkin mengelirukan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

"Saya lihat bahawa dalam banyak komen media (sosial) yang bimbang dan memberikan maklum balas berkenaan (maklumat tersebut)," katanya sambil menambah MyJPJ ketika ini mempunyai 10.5 juta pengguna.

Beliau berkata, kementerian menyokong penggunaan MyDigital ID namun proses pengintegrasian dengan aplikasi MyJPJ perlu dibuat secara 'back-end'.

"Kita telahpun mengadakan perbincangan dan mencapai persetujuan supaya penggunaan MyDigital ID sebagai 'log in' kepada aplikasi MyJPJ perlu dilaksanakan dengan mudah.

"Ia supaya tidak memberikan apa-apa masalah kepada pihak pengguna MyJPJ dan kita akan mengambil sedikit masa untuk pengintegrasian secara 'back-end'," katanya. - Bernama

@sinarharianonline

Tidak perlu guna MyDigital ID untuk MyJPJ bermula 10 Oktober #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Nasional #MyDigitalID #MyJPJ #AnthonyLoke

News - AShamaluevMusic

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!