Pelajar Tingkatan Satu maut jatuh bangunan sekolah

Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut selepas terjatuh dari bangunan di sebuah sekolah di Jalan Syed Putra pada Selasa. Gambar hiasan
Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut selepas terjatuh dari bangunan di sebuah sekolah di Jalan Syed Putra pada Selasa. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut selepas terjatuh dari bangunan di sebuah sekolah di Jalan Syed Putra semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields menerima laporan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 6.59 petang.

Beliau berkata, mangsa berumur 13 tahun telah jatuh dari tingkat lapan bangunan sekolah berkenaan dan telah disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa telah dirujuk ke Bahagian Forensik dan Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah di dalam kes ini.

"Kes kematian ini telah diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). Justeru, polis menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan kegusaran orang ramai dan menghentikan penularan kejadian ini di media sosial,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ku Mashariman berkata, orang awam yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!