Operasi hari ketiga pencarian Sabari tiada petunjuk
KUBANG PASU - Operasi pencarian pesara Felcra Sabari Baharom, 62, pada hari ketiga di Sungai Padang Terap, di sini berakhir tanpa sebarang petunjuk pada Rabu.
Operasi yang disertai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melibatkan pencarian radius 13 kilometer.
Usaha tersebut dilakukan oleh pasukan pencarian sehingga jam 6 petang, Rabu dan dijangka operasi pencarian akan disambung kembali pada Khamis.
Sementara itu isteri mangsa, Subhiah Ruslina Shahibi, 57, yang ditemui di lokasi pencarian berkata, beliau masih menunggu perkembangan terperinci operasi pencarian tersebut.
"Saya tidak pasti operasi ini sampai bila. Polis cuma maklumkan mereka akan hubungi saya nanti, mungkin mereka perlu mengadakan taklimat atau mesyuarat terlebih dahulu sebelum buat sebarang kesimpulan," katanya dengan tenang kepada media berhampiran Sungai Padang Terap, Jitra.
Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh sebelum ini mengesahkan penahanan suspek dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun, Jumaat lepas bagi membantu siasatan kes kehilangan Sabari.
Sabari hilang sejak 4 September lalu dan kereta jenis Proton Waja dinaiki mangsa kemudiannya ditemui hangus di Belantik, Sik.
Anak-anak mangsa kemudiannya mengesan berlaku transaksi pemindahan wang dari akaun bapa mereka kepada akaun yang tidak dikenali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!