Operasi Iran terhadap Israel untuk pertahanan diri berdasarkan Piagam PBB

Abbas Araghchi. Foto EPA
Abbas Araghchi. Foto EPA
A
A
A

TEHERAN - Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan bahawa operasi Republik Islam itu terhadap pangkalan tentera dan keselamatan Zionis adalah tindakan mempertahankan diri dan memberi amaran akan bertindak balas dengan lebih keras jika rejim Israel membalas serangan, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).

"Petang tadi (Selasa), kami melaksanakan pertahanan diri di bawah Artikel 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan menyasarkan semata-mata tapak ketenteraan dan keselamatan yang bertanggungjawab atas genosid di Gaza dan Lubnan," catat Araghchi dalam satu hantaran berserta gambar Gaza yang musnah akibat peperangan di akaun media sosial X miliknya.

"Kami berbuat demikian selepas melakukan kekangan selama hampir dua bulan, untuk memberi ruang kepada gencatan senjata di Gaza.

"Tindakan kami telah tamat kecuali rejim Israel memutuskan untuk mencetuskan tindak balas selanjutnya, dalam situasi itu, tindak balas kami akan lebih keras dan lebih berkuasa,” katanya.

"Penyokong Israel kini mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk mengawal pihak yang menghasut perang di Tel Aviv daripada terlibat dalam tindakan bodoh mereka,” tambah diplomat tertinggi Iran dalam hantaran itu.

Kemudian, dalam perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Britain, Jerman dan Perancis, Araghchi memaklumkan mengenai alasan dan kerangka operasi ketenteraan negaranya terhadap rejim Zionis.

Iran hanya menggunakan haknya untuk mempertahankan diri yang sah berdasarkan Artikel 51 Piagam PBB dan hanya menyasarkan pangkalan tentera dan keselamatan rejim Zionis, kata Araghchi kepada Menteri Luar Troika yang juga dikenali sebagai E3.

Selain operasi anti-Zionis oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, diplomat tertinggi Iran itu juga berbincang dengan rakan sejawatannya dari Barat mengenai ketegangan di Gaza dan Lubnan di tengah-tengah perang genosid oleh Israel.

Artikel Berkaitan:

Araghchi mengulangi bahawa Iran telah menahan diri lebih dua bulan selepas serangan pengganas Israel dan kesyahidan Ismail Haniyeh di Teheran, dan kesinambungan perang oleh rejim itu di Gaza dan perluasannya ke Lubnan, yang sehingga kini telah mengakibatkan lebih 42,000 orang terkorban di Gaza dan Lubnan.

"Republik Islam Iran hanya menggunakan haknya untuk mempertahankan diri yang sah berdasarkan Artikel 51 Piagam PBB dan secara eksklusif menyasarkan pangkalan tentera dan keselamatan rejim Zionis,” katanya, namun memberi amaran bahawa tindak balas negara itu akan lebih keras jika rejim Zionis cuba membalas.

"Operasi telah tamat. Republik Islam Iran tidak mencari untuk meningkatkan ketegangan dan peperangan, walaupun ia tidak gentar untuk menghadapinya,” tambah beliau.

Araghchi, semasa perbualan telefon itu, sekali lagi menyeru semua negara untuk berusaha menubuhkan gencatan senjata dan mencegah serangan oleh rejim Zionis serta peningkatan ketegangan di rantau ini, terutamanya di Lubnan dan Gaza. - Bernama-Irna

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!