Lelaki warga Malaysia yang hilang, sah telah tinggalkan Thailand

Pihak berkuasa Thailand mengesahkan bahawa Beng Shong telah meninggalkan negara itu pada 7 September. Foto hiasan 123RF
Pihak berkuasa Thailand mengesahkan bahawa Beng Shong telah meninggalkan negara itu pada 7 September. Foto hiasan 123RF
A
A
A

BANGKOK - Misteri kehilangan warga Malaysia, Goh Beng Shong, bersama teman wanitanya, Ng Yin Yin, di Bangkok membawa kepada penemuan yang tidak dijangka apabila pihak berkuasa Thailand mengesahkan bahawa Beng Shong telah meninggalkan negara itu pada 7 September.

Ibu Beng Shong, Tan Lee Lie, 60, yang melakukan perjalanan dari Pulau Pinang ke Bangkok untuk mencari anak lelakinya yang berusia 21 tahun, berkata, beliau menghubungi kedutaan Malaysia di Thailand untuk mendapatkan bantuan.

Lee Lie, yang kali terakhir bercakap dengan anaknya pada 5 September, berkata, anaknya telah menghubunginya, meminta bantuan.

"Dia berkata dia berada di Bangkok dan bertanya kepada saya bagaimana untuk memesan telur dadar dalam bahasa Thai. Itu kali terakhir kami bercakap," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Menurut Lee Lie, Beng Shong mempunyai empat tempahan penerbangan berasingan di bawah namanya - Pulau Pinang ke Bangkok pada 4 September, Bangkok ke Frankfurt (7 September), Frankfurt ke Doha (12 September) dan Doha ke Kuala Lumpur (13 September).

Diiringi oleh pegawai konsular dari kedutaan Malaysia, Marwan Mustafa Kamal, Lee Lie yang bekerja sebagai pembantu dapur, dibawa ke pejabat Thai Airways dan Jabatan Imigresen Thailand untuk mengesan keberadaan anaknya.

"Saya berjaya mendapatkan maklumat penerbangan di bawah namanya. Hari ini, kami pergi ke pejabat Thai Airways dan Imigresen, dan dimaklumkan anak saya berlepas dalam penerbangan ke Frankfurt pada 7 September."

Sebelum terputus hubungan, Beng Shong memberitahu ibunya bahawa dia bekerja sebagai pemandu dan majikannya merancang untuk membawanya dalam lawatan kerja ke United Kingdom pada September.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah keluarga teman wanitanya membuat laporan orang hilang, dan saya dihubungi oleh polis," katanya, sambil menambah bahawa dia membuat laporan polis pada 14 September.

Lee Lie berkata, anaknya adalah seorang yang perahsia.

"Saya tidak tahu dia mempunyai teman wanita dan saya tidak tahu tentang kawan-kawan sosialnya."

Lee Lie berharap mendapat bantuan daripada kedutaan Malaysia di Jerman dan Wisma Putra untuk membantu mencari anaknya.

"Saya merayu kepada pihak berkuasa untuk membantu mencari anak saya. Sudah hampir sebulan sejak kali terakhir saya bercakap dengannya."

Dilaporkan bahawa Beng Shong dan Yin Yin, 23, hilang selepas pergi ke Bangkok, dan kedua-dua keluarga tidak dapat menghubungi mereka. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!