'Konflik Iran-Israel boleh cetus perang lebih besar'
SHAH ALAM - Tindakan Iran menyerang Israel sebagai tindak balas kepada serangan zionis terhadap sekutunya, Hizbullah di Lubnan dan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran pada akhir bulan lalu dijangka mencetuskan perang lebih besar di rantau Asia Barat.
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Norafidah Ismail berkata, jangkaan itu berdasarkan serangan yang dilakukan rejim Zionis terhadap Palestin sejak hampir setahun lalu dan terbaru dengan menyasarkan Lubnan.
“Kita sudah pun menyaksikan peningkatan serangan antara Israel dan Hizbullah serta Houthi. Hari ini, kita dikejutkan pula serang balas Iran ke atas Israel.
“Situasi sebegini mendorong all-out-war (perang habis-habisan) atau perang besar di Asia Barat,” katanya kepada Sinar Harian.
Ditanya kesan paling ketara kepada global susulan konflik terbaru itu, Norafidah berkata, ia membabitkan harga minyak mentah.
Menurutnya, harga bahan api itu meningkat sejurus Iran melancarkan serangan ke atas Israel.
“Peningkatan itu melebihi satu dolar Amerika Syarikat (AS). Kebimbangan berlakunya peperangan antara Israel dan Iran adalah faktor kepada peningkatan tersebut.
“Peperangan yang mungkin berlaku itu boleh mengugat pengeluaran minyak mentah di Asia Barat. Sekali gus akan memberi impak kepada harga minyak mentah,” katanya.
Sementara itu, menjawab mengenai kemungkinan wujud gencatan senjata dalam masa terdekat membabitkan Iran dan Israel, beliau mengakui perkara tersebut sukar diramal ketika ini.
“Andaian saya, gencatan senjata tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Ini berdasarkan sikap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sering memilih saluran ketenteraan sebagai jalan penyelesaian kepada konflik yang berlaku,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!