Malaysia sudah ada wakil sedia cabar gergasi Asia
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi membuktikan dominasi mereka di pentas bola sepak Asia dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Shanghai Shenhua dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024 di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.
Kemenangan ini bukan sahaja mengukuhkan status mereka sebagai salah satu pasukan terbaik Asia Tenggara, malah meletakkan mereka di kelas tersendiri dalam kancah bola sepak Asia.
Ketua Jurulatihnya, Hector Bidoglio mengekalkan kesebelasan utama ketika bertemu Shanghai Port sebelum ini dengan Arif Aiman sekali lagi mencuri tumpuan di sepanjang perlawanan yang berlangsung rancak dengan menjaringkan satu gol, sekali gus gol ketiganya dalam kejohanan.
Gol pada minit ke-11 itu nyata menjawab mimpi ngeri pengendali Shenhua, Leonid Slutsky yang menyatakan mereka tidak boleh membiarkan Arif Aiman bergerak bebas dan pemain paling bernilai itu membuktikan kata-katanya.
JDT menambah gol kedua menerusi Jorge Obregon minit ke-26, sebelum pemain import dari Sepanyol, Juan Muniz melengkapkan malam gemilang JDT selepas menyempurnakan situasi bola mati minit ke-80.
Perlawanan menentang Shanghai Shenhua yang merupakan salah satu kelab elit China memperlihatkan kekuatan taktikal dan disiplin JDT di atas padang.
Dari segi penguasaan bola dan serangan, JDT jelas mengawal permainan, menunjukkan bahawa mereka telah meningkat dari segi strategi dan persediaan fizikal.
Kemenangan 3-0 ini menunjukkan JDT bukan sekadar beraksi sebagai wakil dari Malaysia, tetapi sebagai pasukan yang benar-benar bersedia untuk mencabar gergasi-gergasi Asia.
Ia juga menonjolkan peranan penting Bidoglio dalam mencorak taktikal yang berkesan dan mendominasi permainan.
Di bawah bimbingannya, JDT telah mengalami transformasi besar dengan pendekatan permainan yang lebih matang dan tersusun.
Bidoglio berjaya menggabungkan bakat-bakat tempatan seperti Arif Aiman dengan pemain import berkualiti untuk mencipta pasukan yang seimbang dan sukar digugat.
Kemenangan ini turut menjadi titik tolak kepada perjalanan JDT di ACLE 2024. Dengan tiga mata penuh yang diraih, JDT kini dilihat sebagai salah satu pasukan yang perlu diberikan perhatian dalam kejohanan tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!