Bekas pengikut dedah dipaksa bercerai kerana suami tak izin sertai GISBH

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita bekas pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) mengakui pernah dipaksa untuk bercerai kerana suaminya tidak membenarkannya mengikut aktiviti kumpulan itu selepas berkahwin.

Wanita berkenaan dikenali sebagai Lin yang pernah bekerja dalam rangkaian itu memberitahu, dia bukan sahaja diarah menuntut fasakh di mahkamah malah turut diugut selepas mengambil keputusan untuk meninggalkan gerakan ajaran sesat itu.

“Dalam masa dua bulan itu, tempoh yang memang menyedihkan sebab saya dah melarikan diri daripada suami yang saya cinta dan saya sayang.

“Saya tak pernah ada masalah dengan dia dan saya memang tak pernah bergaduh dengan dia tetapi kerana akur dengan arahan daripada orang atasan GISBH bergelar doktor saya hampir buat perkara paling bodoh,” katanya.

Pendakwah bebas, Ustaz Syihabudin Ahmad ketika mengendalikan podcast bersama bekas pengikut GISBH di TikToknya baru-baru ini.
Pendakwah bebas, Ustaz Syihabudin Ahmad ketika mengendalikan podcast bersama bekas pengikut GISBH di TikToknya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam podcast pendakwah bebas, Ustaz Syihabudin Ahmad yang disiarkan di TikToknya baru-baru ini.

Jelas Lin, dia pada mulanya tidak tergamak untuk bercerai kerana masih sayangkan suaminya.

“Doktor itu paksa juga saya buat tuntutan fasakh di mahkamah dan buat apa jua alasan, rekalah apapun asalkan saya boleh bercerai dengan suami sebab katanya ini arahan Ummu Jah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Lin, paling menyakitkan hati apabila doktor wanita berkenaan sudah merancang perkahwinannya dengan orang lain selepas bercerai.

“Dalam GISBH ini saya dididik dengan cara tidak betul sejak kecil, jadi saya memang tak ada ilmu sangat dalam hal rumah tangga ini

“Tapi yang saya tahu, saya sayangkan suami saya sebab itu saya nak pilih dia,”katanya.

Lin berkata, bukan mudah untuk meninggalkan gerakan itu kerana selain diugut, suaminya juga pernah menerima provokasi oleh orang-orang upahan GISBH.

“Memang ada cabaran tapi saya nekad tetap teguh bersama suami dan percaya GISBH ini tidak betul dan amalannya memang menyimpang dari ajaran Islam sebenar," katanya.

Lin mengaku menerima ugutan itu selama bertahun-tahun dan akhirnya kumpulan itu berputus asa dan membiarkannya.

“Tekanan yang diterima mula berkurangan dan akhirnya saya dapat menjalani kehidupan normal dan mempunyai keluarga yang bahagia sehingga sekarang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!