Buang mangsa dalam sungai, suspek rancang sembunyi perbuatan
SHAH ALAM - Tindakan dua suspek yang disyaki membunuh Sabari Baharom, 62, dengan mencampakkan mangsa ke dalam Sungai Padang Terap di Wang Tepus, Jitra di Kedah disifatkan ada rancangan untuk mereka menyembunyikan perbuatan itu dan melarikan diri.
Penganalisis jenayah, Kamal Affandi berpendapat tiada yang aneh di dalam sesuatu kes jenayah apabila menyentuh soal motif dan kebiadaban yang dilakukan oleh pelaku terhadap sasarannya.
Menurutnya, adalah juga tidak benar bahawa hanya dengan menilai darjah keganasan atau kekejaman yang dilakukan maka secara automatik ia wajib dikaitkan dengan status mental penjenayah itu.
“Dalam banyak hal, yang benar-benar memiliki rekod rawatan mental seperti schizophrenia lebih kerap memenggal leher mangsa berikutan tidak dapat membezakan mimpi dengan realiti di hadapan matanya.
“Pada hemat saya, walau apa pun yang cuba diberi sebagai alasan pembelaan mahu pun jawapan kenapa sedemikian rupa mana-mana mangsa diperleceh, ia sesekali tidak mengubah hakikat bahawa ada rancangan untuknya menyembunyikan perbuatan itu dan melarikan diri,” katanya semasa dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Jelas Kamal, suspek dilihat berupaya merancang untuk meloloskan diri sebelum berjaya ditahan polis.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh sebelum ini mengesahkan penahanan suspek dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan kes kehilangan Sabari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!