Masyarakat Malaysia perlu diberi pemahaman betul tentang Islam

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif membangunkan suatu silibus atau disiplin akademik mengenai Islamofobia dan cara menanganinya bagi institusi pengajian tinggi adalah baik untuk memberi pendedahan kepada setiap lapisan masyarakat berkaitan agama Islam.

Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, isu berkenaan bukan sahaja berlaku antara umat Islam tetapi turut melibatkan masyarakat bukan Islam.

“Situasi ini boleh berlaku disebabkan kurang pemahaman berkaitan sesebuah agama. Kadang-kadang salah faham berlaku (dalam konteks Malaysia) tulisan jawi pun (dilabel) Islamofobia kerana dianggap ajaran agama walhal ia cuma tulisan.

“Jadi inisiatif kerajaan mewujudkan silibus itu adalah baik kerana pembentukan pemahaman yang betul perlu (dilaksanakan) melalui pendidikan.

“Maka bila mana wujudnya punca dan masalah seperti Islamofobia, maka di situ perlunya kepada elemen pendidikan untuk kita menerangkan sesuatu yang tepat dan betul supaya dapat difahami,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, menerusi inisiatif tersebut juga akan membentuk masyarakat yang harmoni, tidak berasa terancam dan tiada syak wasangka disebabkan salah faham.

“Apabila Islam itu merupakan agama (rasmi) negara, sepatutnya ia diberi kefahaman secara menyeluruh. Bukan (masyarakat) semua masuk Islam, tidak... tapi sekurangnya tidak bermusuh dengan Islam,” jelasnya.

Ujarnya, intipati dalam silibus itu perlu dibincangkan secara lebih teliti dan mendalam oleh pakar penggubal untuk melihat masalah sebenar agar ia memberi kefahaman kepada masyarakat dan isu Islamofobia berkurang serta dihapuskan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan, kerajaan dalam peringkat awal membangunkan suatu silibus atau disiplin akademik mengenai Islamofobia dan cara menanganinya bagi institusi pengajian tinggi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!