FSY2024: YAPIEM bakal bentang dapatan forum kepada kerajaan

Fadillah (lima dari kanan) bersama rakan strategik FSY2024.
Fadillah (lima dari kanan) bersama rakan strategik FSY2024.
A
A
A

PUTRAJAYA - Hasil dapatan dan pandangan yang dibentangkan dalam Forum Serantau Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (FSY2024) akan dimaklumkan kepada kerajaan sebagai usaha untuk memperkasa ekonomi Islam di Malaysia.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM), Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, beberapa resolusi yang dipersetujui menerusi forum julung kali diadakan itu bakal dicadangkan sebagai dasar kerajaan bagi pembangunan ekonomi serantau.

"Forum ini akan mengumpulkan pandangan dan buah fikiran daripada pemikir dan pengamal ekonomi serta kewangan Islam bagi mengenal pasti cabaran serta kehendak ekonomi semasa.

Fadillah (tengah) ketika merasmikan FSY2024 di Putrajaya pada Selasa.
Fadillah (tengah) ketika merasmikan FSY2024 di Putrajaya pada Selasa.

"YAPEIM berharap beberapa resolusi dapat dibentangkan dalam bentuk cadangan kepada kerajaan dan rakan strategik nusantara bagi pembangunan ekonomi Islam," katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Perasmian FSY 2044 di sini pada Selasa.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Forum bertemakan 'Memperkasa Ekonomi Madani Melalui Sinergi Rangkaian Serantau' itu menghimpunkan hampir 60 penceramah serta ahli panel dari dalam dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

FSY 2024 yang bermula berlangsung selama dua hari bermula 1 Oktober lalu membincangkan strategi baharu dan inisiatif praktikal untuk memajukan ekonomi serta kewangan Islam di rantau Asia Tenggara.

Antara topik yang dibincangkan adalah usaha memerangi kemiskinan tegar dan ketidaksamaan; kewangan Islam, teknologi kewangan dan ekonomi bernilai tinggi; ekonomi digital; industri halal dan pelancongan Islam serta pemerkasaan institusi dan agensi Islam.

Dalam pada itu Mohd Radzif turut menjelaskan, pihaknya sentiasa berusaha untuk memperkasa ekonomi ummah dengan penyampaian perkhidmatan terbaik, efisyen dan berintegriti.

Mohd Radzif ketika berucap pada Majlis Perasmian FSY2024 pada Rabu.
Mohd Radzif ketika berucap pada Majlis Perasmian FSY2024 pada Rabu.

"Kami berpegang kepada tiga teras utama iaitu pembangunan Sosial, pendidikan dan pembangunan ekonomi Islam.

"Dalam pembangunan sosial, kami menyediakan program komuniti yang dipanggil Projek Pembangunan Komuniti YAPEIM, disertakan dengan program komuniti 'one-off' iaitu Ziarah Madani," ujarnya.

Sementara itu dalam ucapan perasmian, Fadillah berkata, FSY 2024 dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-40 YAPEIM dan memberi makna penting kepada agensi itu yang telah membantu dan menyumbang dalam pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan pembangunan sosial.

Sepanjang tempoh berkenaan, beliau memaklumkan, agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu telah mengagih sebanyak RM700 juta kepada 10 juta penerima manfaat.

"Malah, tahun lalu sahaja, sejumlah RM30.7 juta telah diagihkan yang memanfaatkan kira- kira 1.5 juta orang," menurutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!