Sindiket seludup migran warga Bangladesh di Tambak Johor tumpas
JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Kegiatan sindiket penyeludupan migran warga Bangladesh yang dibawa masuk dari Singapura ke Bangunan Sultan Iskandar(BSI) terbongkar selepas rumah penampungan di Taman Daya, di sini digempur polis.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan sekitar jam 5.30 pagi pada 9 September itu dilakukan Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Menurut beliau, risikan yang dijalankan mendapati aktiviti penyeludupan migran ini berlaku di kawasan Tambak Johor yang dikesan bergiat aktif sejak Ogos tahun ini dan didalangi individu warga Bangladesh dan tempatan.
"Dalam serbuan di rumah penampungan itu, seeorang wanita warga tempatan dan tiga lelaki warga asing yang berperanan sebagai pengurus, tranporter, penjaga rumah ditahan.
"Selain itu, 21 migran terdiri daripada lelaki warga Bangladesh berusia 19 hingga 44 tahun turut ditahan.
"Turut dirampas, 25 unit telefon bimbit, 22 pasport warganegara Bangladesh, wang tunai mata wang Malaysia RM1,200, Singapura (SGD2), Bangladesh (5,460 taka) dan dua buah kereta Myvi dan Axia," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Kumar memberitahu migran yang diuruskan ejen di Bangladesh akan dikenakan bayaran sebanyak 550,000 taka atau RM20,000 seorang.
"Migran akan transit di Lapangan Terbang Changi, Singapura sebelum diuruskan oleh ejen sindiket untuk masuk ke Malaysia dengan cara berjalan kaki melalui laluan terpencil menuju Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
"Seterusnya migran akan diambil oleh tranporter untuk dihantar ke rumah penampungan," katanya.
Menurut beliau lagi, kertas siasatan bagi semua yang ditahan reman itu telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan diarahkan untuk menuduh 21 migran di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tambahnya, empat pengurus atau transporter atau penjaga rumah penampungan itu mendapat arahan untuk dituduh di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
"Semua 21 migran telah dituduh pada 23 September lalu di Mahkamah Majistret Johor Bahru dan kes akan disebut semula pada 13 Oktober ini, manakala pertuduhan terhadap empat orang pengurus atau transporter atau penjaga rumah penampungan itu akan dibuat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi ini," katanya.
Pada masa sama, Kumar berkata, pihaknya memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau pihak yang mengambil kesempatan berkomplot dengan sindiket penyeludupan migran demi mendapat habuan tertentu.
"Kerjasama masyarakat dengan menjadi mata dan telinga polis dilihat sebagai salah satu mekanisma untuk membendung kegiatan ini.
"Sekiranya kegiatan ini tidak dikawal akan memberi implikasi besar terhadap isu keselamatan negara, moral, keharmonian sejagat dan kedaulatan negara," tegasnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!