Tiada perkara serius berlaku antara Pas dan Bersatu - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak menafikan hubungan Perikatan Nasional (PN) khususnya Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu memberi lebih fokus untuk kefahaman yang lebih erat selepas ini.

Ahmad Samsuri bagaimanapun berkata, setakat ini tiada perkara serius yang berlaku sehingga boleh menjejaskan hubungan kerjasama antara parti komponen dalam PN.

"Saya rasa dalam mana-mana organisasi pun, hatta dalam keluarga kita pun akan ada isu-isu atau perkara-perkara yang perlukan pelarasan dari segi kefahaman (eratkan kerjasama).

"Saya tidak mahu berada dalam keadaan (menafikan perkara tersebut... nak kata kita semuanya sempurna kerana tiada sesiapa yang sempurna dalam mana-mana organisasi pun.

"Tetapi sebenarnya tak ada perkara yang serius yang tak boleh kita tangani... bagi saya itu perkara biasa sahaja yang boleh kita tangani serta perkukuhkan muafakat dalam PN ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai desas desus hubungan yang hambar dalam PN sehingga menyebabkan kekalahan yang teruk di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor pada Sabtu lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan setiap PRK yang diadakan tidak melambangkan kekuatan sebenar mana-mana parti sleain tidak mewakili sepenuhnya suara rakyat di peringkat akar umbi.

"Sebelum Pilihan Raya Umum 2018 pun, Barisan Nasional (BN) pernah menang besar dalam dua PRK namun kalah dan (hilang kuasa) pada pilihan raya umum berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi ia membuktikan PRK bukanlah ukuran kekuatan yang sebenar," jelasnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan krisis dalaman Pas dan Bersatu menjadi antara penyebab PN kalah teruk dengan majoriti lebih 20,000 kepada BN dalam Pilihan Raya Kecil PRK DUN Mahkota, Johor pada Sabtu.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, perkara itu terbukti apabila pemimpin Pas dilihat kurang ghairah untuk turun padang membantu kempen calon PN pada PRK kali ini.

Pada PRK DUN Mahkota, Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah menang dengan majoriti sebanyak 20,648 undi menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar.

Secara keseluruhan, Ketua Pemuda UMNO Kluang itu memperoleh undian sebanyak 27,995 undi sementara Mohamad Haizan, 7,347.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!