Keluarga reda jasad Sabari masih belum ditemui

APM turut membantu dalam operasi pencarian Sabari di Sungai Padang Terap. Gambar kecil: Sabari
APM turut membantu dalam operasi pencarian Sabari di Sungai Padang Terap. Gambar kecil: Sabari
A
A
A

KUBANG PASU - Isteri kepada pesara pegawai kewangan Felcra, Sabari Baharom, 62, yang dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Kampung Empa di sini selepas dilaporkan hilang sejak 4 September lalu, reda walaupun jasad suaminya itu masih belum ditemui.

Subhiah Roslina Shahibi, 57, walau bagaimanapun berkata, dia berpuas hati dengan usaha pasukan penyelamat melakukan pencarian di sekitar kawasan sungai tempat suaminya dipercayai dicampak dalam kejadian itu sejak tiga hari lalu.

“Jadi kita dah tahu arwah sudah tidak ada, kita keluarga sudah reda, kalau dapat jumpa, kalau tidak dapat jumpa semuanya dengan izin ALLAH SWT.

“Kita sebagai orang Islam mana nak yang tak elok, semua nak yang elok, kalau mati nak tengok depan mata. Kalau tidak ada, kami terima dengan reda, semua kena terima.

"Saya reda, sebab pelbagai dugaan saya hadapi dalam hidup, jadi saya terima. Boleh terima tapi sedih mesti ada,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian pada Khamis.

Menurut Subhiah, polis telah menerangkan kepada keluarga usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa dalam pencarian Sabari.

Subhiah Roslina. Foto Bernama
Subhiah Roslina. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

“Kejadian sudah berlaku 4 September, selepas tiga minggu baru kita buat operasi pencarian ini kerana berjaya tangkap suspek.

“Katanya banjir pertama seminggu dan banjir kedua empat hari, jadi masa itu banyak kemungkinan.

"Bila air laju apa yang mereka cerita kepada saya itu teori mereka, ada logik sebab itu berdasarkan pengalaman mereka,” ujarnya.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan operasi pencarian Sabari pada hari ketiga di Sungai Padang Terap, di sini berakhir tanpa sebarang petunjuk.

Operasi yang disertai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melibatkan pencarian radius 13 kilometer.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh sebelum ini mengesahkan penahanan suspek dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun, Jumaat lepas bagi membantu siasatan kes kehilangan Sabari.

Sabari hilang sejak 4 September lalu dan kereta jenis Proton Waja dinaiki mangsa kemudiannya ditemui hangus di Belantik, Sik.

Anak-anak mangsa kemudiannya mengesan berlaku transaksi pemindahan wang dari akaun bapa mereka kepada akaun yang tidak dikenali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!