Daftar masuk guna MyDigital ID untuk MyJPJ ditangguhkan
SHAH ALAM - Kaedah mendaftar masuk menggunakan MyDigital ID ke aplikasi MyJPJ ditangguhkan buat sementara waktu.
MyDigital ID menerusi satu hantaran di Facebook bagaimanapun berkata, orang ramai masih boleh menggunakan cara tersebut sebagai salah satu kaedah untuk masuk ke aplikasi berkenaan.
“Kami ingin memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi pengguna berhubung pengumuman mengenai penggunaan daftar masuk tunggal MyDigital ID di aplikasi MyJPJ bermula 10 Oktober 2024.
“Bagi memastikan kelancaran perkhidmatan, keputusan telah dibuat untuk menangguhkan penggunaan log masuk tunggal MyDigital ID untuk MyJPJ buat sementara waktu,” kata kenyataan itu pada Khamis.
Sebelum ini, arahan berhubung keperluan penggunaan MyDigital ID dalam MyJPJ dikeluarkan menerusi pengumuman tetingkap timbul ('pop-up announcement') dalam aplikasi itu.
Pada Rabu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, arahan yang dikeluarkan itu bukan pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengangkutan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan telah diturunkan serta-merta.
Jelas beliau, pengguna aplikasi tersebut boleh mendaftar masuk seperti biasa tanpa perlu menggunakan MyDigital ID.
MyDigital ID merupakan satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital, yang bakal dimanfaatkan sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara dalam talian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!