Banjir: NRES buat penambahbaikan kurangkan impak kematian, ekonomi
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengambil beberapa langkah penambahbaikan bagi mengurangkan impak kematian dan ekonomi serta kerosakan harta benda semasa berlakunya bencana banjir.
Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Ching Thoo Kim berkata, ia termasuk meningkatkan bunyi siren amaran banjir di stesen pencerapan cuaca permukaan.
"Kerajaan mengambil iktibar kejadian banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor tiga tahun lalu yang mana bunyi siren kurang nyaring sehingga ada penduduk menganggapnya sebagai siren polis.
"Jadi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meningkatkan bunyi siren amaran lebih kuat dan berbeza dengan polis atau bomba," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum berucap di Forum Iklim Kebangsaan 2024 Monsun Timur Laut: Tindakan dan Cabaran Barisan Hadapan di sini pada Khamis.
Menurutnya, di bawah projek menaik taraf stesen pencerapan cuaca permukaan, sebanyak 100 stesen pencerapan cuaca konvensional bakal dinaik taraf kepada stesen meteorologi auksiliari automatik yang berteknologi tinggi.
"Melalui pelaksanaan projek ini, kita dapat mengoptimumkan keupayaan sistem rangkaian cuaca sedia ada serta meningkatkan perkhidmatan pemantauan cuaca berterusan, ramalan cuaca semasa dan penyampaian amaran cuaca buruk kepada masyarakat," katanya.
Jelas beliau, kerajaan telah membuat persiapan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.
"Kami di pihak kerajaan telah bersedia menghadapi segala kemungkinan sama ada makanan dan pusat pemindahan sementara (PPS).
"Apa yang penting adalah kerjasama daripada rakyat untuk lebih peka dengan situasi semasa.
"Sekiranya ada arahan, berpindahlah dengan segera," katanya.
Terdahulu dalam ucapan beliau berkata, kesan perubahan iklim dapat dilihat apabila kejadian cuaca ekstrem terutamanya banjir besar berlaku dan menyebabkan kerugian ekonomi yang ketara.
"Pada tahun 2021 sahaja, banjir telah menyebabkan 400,000 orang kehilangan tempat tinggal dan mengakibatkan kerugian kira-kira RM1.3 bilion, atau 0.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.
Ujar beliau, laporan Nationally Determined Contributions (NDCs) Malaysia yang dikemaskini pada tahun 2021, diunjurkan bahawa suhu tahunan purata negara akan meningkat sebanyak 1.9 hingga 2.1 darjah celcius menjelang tahun 2100.
"Unjuran ini juga menunjukkan peningkatan jumlah hujan sebanyak 23.6 peratus menjelang akhir abad ini.
"Oleh itu, tidak dinafikan bahawa kejadian cuaca ekstrem boleh berlaku dan menyebabkan bencana luar jangka pada masa akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!