Messi kembali sertai Argentina untuk kelayakan Piala Dunia

Messi Foto AFP
Messi Foto AFP
A
A
A

BUENOS AIRES - Lionel Messi kembali menyertai skuad Argentina bagi kelayakan Piala Dunia FIFA menentang Venezuela dan Bolivia, lapor Xinhua memetik kenyataan persatuan bola sepak negara Amerika Selatan itu pada Rabu.

Messi, 37, terlepas aksi kelayakan Albiceleste pada September menentang Chile dan Colombia akibat kecederaan buku lali, namun kini kembali beraksi bersama kelabnya, Inter Miami.

Argentina akan berdepan Venezuela di tempat lawan pada 10 Oktober dan bertemu Bolivia di Buenos Aires lima hari kemudian.

Juara bertahan Piala Dunia dan Copa America itu kini mendahului kumpulan 10 pasukan Amerika Selatan dengan 18 mata daripada lapan perlawanan.

Enam pasukan teratas layak secara automatik ke Piala Dunia 2026 yang akan dianjurkan bersama oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada manakala pasukan yang menduduki tempat ketujuh akan mara ke perlawanan playoff antara benua. - Bernama-Xinhua

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!