Kerajaan perlu kreatif cari jalan beri pendidikan murah, percuma - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu lebih kreatif untuk mencari jalan menawarkan sistem pendidikan yang boleh dinikmati rakyat secara murah atau percuma.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan boleh melihat kepada model sistem pendidikan dan universiti yang dibiayai melalui sistem waqaf seperti dilakukan oleh Universiti Al-Azhar di Mesir atau universiti lain di dunia satu masa dahulu.

“Melalui sistem ini, pelajar miskin dibiayai melalui bantuan pendidikan serta biasiswa atau beberapa pengecualian bayaran yuran pengajian.

“Isu pendidikan tidak sepatutnya dilihat sebagai bebanan kerana ia merupakan tanggungjawab negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan memberi bayangan akan menghentikan pemberian subsidi dalam sektor pendidikan kepada anak golongan kaya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, perkara tersebut antara menjadi keutamaan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan 18 Oktober ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim menegaskan, mengukur pendidikan dengan nilai wang ringgit adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.

“Tidak hairan terdapat golongan miskin menghantar anak-anak ke institusi pendidikan terbaik sama ada dalam atau luar negara walaupun mereka terpaksa mengerah keringat untuk membayar yuran yang mahal.

Artikel Berkaitan:

“Ini semua tidak lain dan tidak bukan demi masa depan anak-anak mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, cadangan untuk mengenakan bayaran pendidikan mahal kepada anak-anak golongan kaya perlu dipertimbangkan.

Tuan Ibrahim menambah, beliau tidak bermaksud ingin menyebelahi golongan tersebut dan menidakkan usaha membantu golongan miskin kerana kedua-duanya adalah rakyat yang perlu disantuni kerajaan.

“Isu pemberian dana pendidikan kepada rakyat sama ada kaya dan miskin tidak seharusnya dilihat dari perspektif ekonomi sahaja, sebaliknya juga perlu melihat sumbangan mereka terhadap pendapatan negara dan imbangan sumbangan.

“Umum mengetahui lebih besar pendapatan individu maka lebih besar zakat dan cukai yang dikenakan, seperti peribahasa Melayu ‘besar periuk besarlah kerak’,” katanya.

Beliau memaklumkan, kerajaan patut bimbang akan pertambahan jumlah pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak berminat menyambung pengajian di universiti dan memilih bekerja dalam sektor ekonomi gig atau perkilangan.

Menurutnya, negara akan terdedah risiko kehilangan tenaga kerja mahir pada masa hadapan dengan situasi berkenaan.

“Oleh itu, kerajaan harus terus memberi galakkan dan bantuan pelajar cemerlang tanpa mengira status pendapatan keluarga mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!