Israel ancam keselamatan serantau - Pakistan

Pakistan menyifatkan pencerobohan Israel di Lubnan meningkatkan lagi ketegangan dan menjejaskan kehidupan orang awam. Foto AFP
Pakistan menyifatkan pencerobohan Israel di Lubnan meningkatkan lagi ketegangan dan menjejaskan kehidupan orang awam. Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI - Pakistan menyifatkan pencerobohan Israel di Lubnan mengancam keselamatan serantau dan menggesa agar ketegangan di Asia Barat diredakan segera.

"Israel mengancam keamanan dan keselamatan serantau dengan tindakan genosid yang sedang berlaku di Gaza. Pencerobohan terbaharu di Lubnan meningkatkan lagi ketegangan ini, menjejaskan kehidupan orang awam yang tidak berdosa.

"Rakyat Palestin, Lubnan dan seluruh rantau ini berhak hidup bebas daripada ketakutan dan keganasan. Adalah penting bagi semua pihak untuk berundur daripada jurang konflik ini, dan bagi masyarakat antarabangsa untuk bertindak segera meredakan ketegangan," kata Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan pada Rabu.

Selain menyuarakan pendirian secara diplomatik dan menyeru penubuhan negara Palestin yang merdeka, Pakistan turut menghantar banyak bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang dinafikan keperluan asas akibat sekatan ketenteraan Israel.

"Budaya tidak bertanggungjawab dan pengabaian undang-undang antarabangsa yang berleluasa mesti ditangani dengan segera. Pakistan mengulangi seruannya kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mempertahankan keamanan dan keselamatan di rantau ini, melindungi kedaulatan Lubnan dan menghentikan krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza," menurut kenyataan itu.

Jumlah korban akibat serangan berterusan Israel sejak 7 Oktober lalu meningkat hampir 41,700, manakala 96,625 lagi cedera, menurut Kementerian Kesihatan Gaza pada Rabu.

Di Lubnan, Israel membunuh 1,928 orang dan mencederakan 9,290 sepanjang tempoh yang sama.

Serangan Israel menyebabkan kira-kira satu juta orang dipindahkan di Lubnan, manakala 100,000 lagi melarikan diri ke Syria.

Artikel Berkaitan:

Rantau itu berdepan kemungkinan tercetusnya perang besar-besaran akibat ketegangan antara Israel dan Iran, selepas Iran pada Selasa menyerang sasaran ketenteraan Israel sebagai tindak balas kepada pembunuhan pemimpin penentang Lubnan dan Palestin serta komander ketenteraan Iran.

Iran memberi amaran bahawa tindak balas ketenteraan yang lebih hebat jika Israel menyerangnya lagi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!