[VIDEO] Pengasuh taska didakwa abai bayi hingga cacat kekal

A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang pengasuh taman asuhan kanak-kanak (taska) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas tuduhan mengabaikan hingga menyebabkan seorang bayi lelaki mengalami cacat kekal, tahun lalu.

Siti Salwa (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Khamis.
Siti Salwa (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Khamis.

Tertuduh, Siti Salwa Rezuan, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu pengasuh kepada seorang bayi lelaki berusia setahun telah mengabaikan atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Taman Pertam Jaya, Semabok di sini, kira-kira jam 2.30 petang pada 27 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak lebih RM50,000, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh diwakili peguam Mohd Nazri Abd Hamid merayu anak guamnya diberikan jaminan rendah RM5,000 memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai pengasuh dengan pendapatan RM1,700 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri sekali setiap bulan di balai polis berhampiran dan tidak mendekati atau mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 14 November depan sebagai sebutan semula kes.

Sinar Harian pada 1 November tahun lalu melaporkan seorang bayi lelaki berusia setahun sembilan hari kritikal akibat pendarahan di kepala selepas didakwa tidak sedarkan diri ketika berada di taska itu.

Sementara itu, bapa mangsa berusia 31 tahun ketika dihubungi pemberita pada Khamis memaklumkan, susulan kejadian itu anaknya kini mengalami cacat kekal dan dikategorikan orang kurang upaya (OKU).

Jelasnya, bayinya hanya terlantar dan terpaksa diberikan makanan dan minuman melalui tiub.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!