KPM guna Kit Program Transisi Tahun 1, modul PRISMA untuk anak-anak GISBH

KPM menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1, modul PRISMA bagi memenuhi keperluan kanak-kanak GISBH yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan. Gambar hiasan
KPM menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1, modul PRISMA bagi memenuhi keperluan kanak-kanak GISBH yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kit Program Transisi Tahun 1 dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA) digunakan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memenuhi keperluan kanak-kanak rumah amal GISB Holding (GISBH) yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan.

KPM dalam satu memaklumkan kit tersebut memberi penekanan kepada aspek sosio ekonomi, kognitif dan fizikal kanak-kanak bagi membina keyakinan diri, seterusnya sebagai persediaan holistik termasuk penguasaan literasi serta numerasi.

"Modul digunakan turut menerapkan elemen yang dapat meningkatkan kesedaran tentang potensi diri serta memupuk keseimbangan kanak-kanak ini dari aspek jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek (JERSI).

"Ïa sebagai persediaan untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran secara positif dan seterusnya mempersiapkan mereka untuk menghadapi suasana pembelajaran baharu," katanya pada Khamis.

Jelas kementerian itu, seramai 68 guru KPM terlibat secara langsung dalam program yang dirangka khusus bagi memberi akses pendidikan formal dan berstruktur kepada kanak-kanak terlibat sekali gus mengelakkan keciciran pembelajaran.

Sebelum ini, KPM memaklumkan pihaknya mengambil alih urusan pendidikan anak-anak yang diselamatkan dari premis rumah amal GISBH bermula Selasa lalu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kesemua mereka akan diberikan pendidikan formal bagi memastikan tidak tercicir dalam pembelajaran.

Bulan lalu, polis menyelamatkan 402 individu, masing-masing 201 lelaki dan 201 perempuan berumur setahun hingga 17 tahun dalam serbuan di 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan kerana disyaki menjadi mangsa eksploitasi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!