'Dihantui rasa bersalah kalau terus terima bantuan zakat'
SEREMBAN - Tidak mahu dibelenggu perasaan bersalah kerana masih menerima bantuan zakat sedangkan kehidupannya bertambah baik, membuatkan seorang ibu tunggal nekad keluar daripada senarai penerima bantuan asnaf.
Azlina Ramli, 51, membuat keputusan itu kerana enam anaknya yang kini berusia 18 hingga 26 tahun sudah bekerja dan boleh membantunya.
"Sebenarnya sejak tahun lepas lagi saya mula terfikir nak kuar daripada asnaf kerana merasakan ada orang lain yang lebih susah hidupnya daripada saya.
"Dari hari ke hari saya dihantui rasa bersalah kerana fikir anak-anak pun dah besar sehinggalah minggu lalu saya nekad ke Baitulmal membawa surat menyatakan hasrat berhenti daripada menerima bantuan," katanya dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Dia yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah pejabat di Nilai berkata, dia mula menerima bantuan Baitulmal pada tahun 2009.
Katanya, tanpa bantuan tersebut agak sukar dia meneruskan hidup dengan statusnya sebagai ibu tunggal yang perlu menyara lima anak yang masih bersekolah ketika itu.
"Saya pula hanya bekerja sebagai pekerja pembersihan sahaja, mana cukup nak sara anak-anak yang sedang membesar.
"Tapi saya lega kerana Baitulmal telah beri bantuan bulanan dan juga barangan dapur yang sangat membantu meringankan beban yang saya tanggung," katanya.
Bukan itu sahaja kata Azlina, setiap tahun dia turut mendapat bantuan persekolahan daripada Baitulmal untuk anak-anaknya sehinggalah mereka di Tingkatan Lima.
Ujarnya, dia sangat berterima kasih kepada Baitulmal kerana banyak membantunya selama ini dan berharap keputusannya keluar daripada senarai penerima bantuan dapat membantu orang lain pula.
"Alhamdulillah anak-anak saya semuanya dah ada pendapatan sendiri dan anak bongsu saya juga dah bekerja selepas tamat Tingkatan Lima tahun lalu.
"Apa yang saya boleh katakan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) banyak tolong saya. Saya bersyukur sangat dan terima kasih juga kepada pembayar-pembayar zakat kerana dengan wang itu dapat membantu kami sekeluarga," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!