Lima kematian akibat demam denggi di Pahang
KUANTAN – Lima kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan di Pahang pada Januari hingga 28 September lalu berbanding satu kematian direkodkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri berkata, Datuk Ir Razali Kassim berkata, data tersebut mencatatkan peningkatan 400 peratus dan Pahang adalah negeri kedua tertinggi kes kematian denggi dalam negara.
"Peningkatan ini disebabkan adanya kegiatan Aedes di banyak lokasi sama ada di dalam rumah, luar rumah, taman permainan termasuk di kawasan kebun sayur dan sebagainya.
"Kecuaian individu tertentu juga seperti tidak menjaga kebersihan, jadi apabila berlakunya kes sebegini, kesannya bukan sahaja ke atas individu malah juga kepada masyarakat setempat. Itu yang kita mahu elakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia kali pertama di Lokaliti Taman Pasdec Makmur Indera Mahkota 2 di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr Rusdi Abdul Rahman.
Projek Pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia di Malaysia adalah satu pendekatan untuk mencegah dan mengawal jangkitan kes demam denggi serta pendekatan ini telah dimulakan sejak tahun 2019 di seluruh negara secara berfasa.
Sehingga kini, sejumlah 540,000 ekor nyamuk dewasa telah dilepaskan di PPRS Pinggiran Putra manakala di Taman Impianku sejumlah 264,600 ekor nyamuk dewasa telah dilepaskan.
Sementara itu, Rusdi memaklumkan, lima kematian, masing-masing satu direkodkan di daerah Bera, Bentong, Rompin, Raub dan Kuantan,
Menurutnya, kesemua mangsa yang terlibat adalah mereka yang berusia antara 40 hingga 65 tahun di menetap di taman perumahan, kampung dan Felda.
"Bila kita siasat kebanyakan kes kematian adalah faktor pesakit, apabila tidak mendapatkan rawatan awal ke hospital atau klinik kesihatan apabila mengalami demam dan suhu suhu badan mencapai 38 darjah selsius ke atas.
"Jadi, mereka yang alami demam berulang ini perlu mendapatkan rawatan semula ke klinik kesihatan atau swasta yang sama bagi membolehkan rawatan dan penyiasatan lanjut.
"Kalau misalnya masih tidak baik, kita akan rujuk ke hospital untuk di masukkan ke dalam wad untuk pemerhatian,” ujarnya.
Selain itu, mengulas pelepasan nyamuk aedes berwolbachia di Taman Pasdec Makmur, Razali berkata, sebanyak 420,000 nyamuk dewasa akan dilepaskan iaitu masing-masing 30,000 nyamuk pada setiap minggu selama 14 minggu.
Katanya, setakat ini, sebanyak 540,000 nyamuk dewasa dilepaskan di PPRS Pinggiran Putra, di sini manakala 264,600 nyamuk dewasa dilepaskan di Taman Impianku, di sini.
"Sejak bermula pelepas tahun 2022 hingga hari ini, tiada kejadian wabak denggi dilaporkan berdasarkan pemantauan berterusan sepanjang pelaksanaan di dua lokaliti terbabit.
"Kejayaan ini menunjukkan hasil yang positif bagi projek ini seterusnya memberikan mpak yang baik kepada kesihatan penduduk Kuantan dan Pahang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!