PM Pakistan, Malaysia tingkatkan kerjasama dua hala
ISLAMABAD Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Pakistan, Shehbaz Sharif dijadual mengadakan rundingan pada Khamis bagi memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang serta mengeratkan persahabatan yang terjalin selama 67 tahun, lapor Associated Press of Pakistan (APP).
Anwar, bersama delegasi yang terdiri daripada menteri, timbalan menteri dan pegawai kanan, tiba di Islamabad pada Rabu untuk lawatan tiga hari bagi bertemu kepimpinan Pakistan.
Pertemuan ini bertujuan membincangkan agenda komprehensif untuk memperkukuh lagi hubungan dua hala dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, kesalinghubungan, tenaga, pertanian, industri halal, pelancongan, pertukaran budaya dan hubungan antara rakyat.
Perdana Menteri Shehbaz Sharif yang menyambut ketibaan Anwar di lapangan terbang, menyatakan bahawa beliau menantikan perbincangan yang bermakna untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.
"Kunjungan anda menggariskan komitmen bersama terhadap keamanan, kemakmuran dan pembangunan serantau. Bersama-sama, mari kita membina masa depan yang lebih cerah untuk Pakistan dan Malaysia,” kata Shehbaz di platform X.
Terdahulu, Anwar turut berkongsi di akaun X mengenai ketibaannya di Islamabad untuk lawatan negara sehingga Jumaat, yang bertujuan mengeratkan lagi persahabatan 67 tahun antara Malaysia dan Pakistan.
"Usai tiba, saya dan delegasi disambut rakan sejawat Shehbaz Sharif dan peluang itu digunakan bagi menyatakan penghargaan di atas jemputan yang akan membuka lembaran baharu hubungan diplomatik kedua-dua negara selain mewujudkan agenda kerjasama pelbagai sektor di masa adapan.
"Moga segala yang diatur pada lawatan ini akan berjalan lancar dan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk turut membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa,” kata Anwar di platform X. - Bernama-APP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!