KDNK Kelantan meningkat RM27.6 bilion pada 2023

Abang Saifulhadi (kanan) bersama Tuan Mohd Saripudin (tengah) melihat tanaman ubi kayu sebagai pagar kebun betik di Selising, Pasir Puteh.
Abang Saifulhadi (kanan) bersama Tuan Mohd Saripudin (tengah) melihat tanaman ubi kayu sebagai pagar kebun betik di Selising, Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kelantan mencatatkan peningkatan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM27.6 bilion pada tahun 2023 berbanding RM26.9 bilion tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Perangkaan (DOSM) Negeri Kelantan, Abang Saifulhadi Abang Ibrahim berkata, peningkatan sebanyak 2.6 peratus itu melibatkan lima sektor utama iaitu perkhidmatan, pertanian, pembuatan, pembinaan dan perlombongan serta pengkuarian.

“Bagi tahun 2023, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama sebanyak RM19.8 bilion (2022: RM19.08) diikuti pertanian RM5.61 bilion (2022: RM5.64 bilion).

“Seterusnya sektor pembuatan yang menyumbang RM1.27 bilion (2022: RM1.3 bilion) pembinaan RM512 juta (2022: RM480 juta) dan perlombongan serta pengkuarian RM425 juta (2022: RM393 juta),” katanya kepada pemberita selepas Sesi Turun Padang bagi Pelaksanaan Banci Pertanian 2024 Peringkat Negeri Kelantan di kebun betik di Selising di sini pada Khamis.

Kakitangan DOSM Kelantan yang mengadakan banci di kebun betik di Selising, Pasir Puteh dan turut disertai pihak kerajaan negeri Kelantan.
Kakitangan DOSM Kelantan yang mengadakan banci di kebun betik di Selising, Pasir Puteh dan turut disertai pihak kerajaan negeri Kelantan.

Turut hadir, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Datuk Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.

Menurut Abang Saifulhadi, daripada kesemua sektor terbabit, dua daripadanya mengucup iaitu pertanian dan pembuatan manakala selebihnya meningkat.

“Antara terpenting iaitu sektor pertanian yang menjadi penyumbang kedua kepada ekonomi negeri Kelantan dengan jumlah 20.30 peratus.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, sektor ini mengucup sebanyak 0.5 peratus akibat kemerosotan subsektor perhutanan dan pembalakan,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, sebanyak 87,621 kediaman dan 420 pertubuhan perniagaan akan dibanci dalam Banci Pertanian di Kelantan pada tahun ini.

Katanya, setakat 1 Oktober lalu, sebanyak 94.6 peratus banci selesai di Kelantan dan kerja-kerja bancian masih berbaki tujuh hari.

“Pelaksanaan banci bertujuan untuk mengumpul data dan profil penduduk yang melakukan aktiviti pertanian meliputi ciri-ciri demografi dan sosioekonomi sehingga peringkat geografi terkecil bagi aktiviti tanaman, ternakan, perikanan, akuakultur, perhutanan dan pembalakan.

“Maklumat banci ini akan diguna pakai bagi perancangan pembangunan negara, asas unjuran dan anggaran sektor pertanian negara selain penanda aras baharu dalam penyediaan indikator untuk menjamin bekalan makanan serta sosioekonomi,” kata Abang Saifulhadi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!