Penduduk alami simptom kesihatan akibat pembuangan sisa najis ayam

Keadaan air hitam dan berbuih di parit berdekatan kilang memproses najis ayam di Kampung Simpang 3 Jeram di sini pada Khamis. (Gambar kecil dari kiri: Zairul, Azhar, Mohd Norkhan)
Keadaan air hitam dan berbuih di parit berdekatan kilang memproses najis ayam di Kampung Simpang 3 Jeram di sini pada Khamis. (Gambar kecil dari kiri: Zairul, Azhar, Mohd Norkhan)
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penduduk di tiga kampung di Jeram di sini mengadu mengalami simptom kesihatan akibat pembuangan sisa najis ayam dari sebuah kilang di Kampung Simpang 3 Jeram.

Kira-kira 5,000 penduduk di Kampung Simpang 3 Jeram, Kampung Jeram dan Kampung Bukit Kuching serta beberapa taman perumahan berdekatan berisiko mengalami simptom sesak nafas, loya, muntah, pening dan gatal badan.

Seorang penduduk, Zairul Majid, 49, berkata, penduduk sering terhidu bau pencemaran akibat dibawa angin kuat terutama pada setiap malam.

"Saya sendiri mengakui sering mengalami simptom loya dan pening akibat pencemaran bau busuk dari pencemaran sisa najis ayam," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Dia yang menetap di Kampung Simpang 3 Jeram memberitahu, masalah kesihatan bukan sahaja dialaminya, malah salah seorang daripada dua anaknya juga mengalami asma.

Harrison (tengah) bertemu dengan wakil kilang (kanan) bagi meninjau operasi kilang memproses najis ayam di Kampung Simpang 3 Jeram di sini pada Khamis.
Harrison (tengah) bertemu dengan wakil kilang (kanan) bagi meninjau operasi kilang memproses najis ayam di Kampung Simpang 3 Jeram di sini pada Khamis.

Jelasnya, pencemaran bau dan sistem sisa saliran kotor menyebabkan penduduk terpaksa mendapatkan rawatan di klinik.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga dapat aduan ramai penduduk mendakwa mengalami simptom kesihatan dan ini menyebabkan kos perubatan untuk rawatan juga meningkat," ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Azhar Abdullah, 49, berkata, masalah dihadapi penduduk itu bukan sesuatu yang baharu malah telah berlarutan sejak lima tahun lalu.

Katanya, penduduk sudah beberapa kali membuat bantahan kepada kilang terbabit, namun masih tiada jalan penyelesaian.

Ujar Azhar, penduduk rimas apabila air parit bertukar warna hitam dan berbuih di kawasan parit berhampiran kilang memproses najis ayam terbabit.

"Keadaan ini bertambah teruk apabila hujan menyebabkan aliran air ini akan memasuki parit rumah penduduk.

"Lebih memburukkan keadaan apabila berlaku hujan lebat dan air melimpah ke kawasan rumah hingga menyebabkan banjir," jelas beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPPKP) Simpang 3 Jeram, Mohd Norkhan Rais berkata, kilang terbabit sudah diambil tindakan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, masalah itu seolah-olah tiada jalan penyelesaian dan masih beroperasi seperti biasa.

"Kami menggesa tindakan tegas diambil bagi memastikan aliran air najis ini tidak mengalir ke kampung yang boleh mengakibatkan isu kesihatan dan pencemaran bau," kata beliau.

Harrison (depan tengah) menunjukkan pencemaran parit akibat pembuangan sisa najis ayam dari sebuah kilang di Kampung Simpang 3 Jeram di sini pada Khamis.
Harrison (depan tengah) menunjukkan pencemaran parit akibat pembuangan sisa najis ayam dari sebuah kilang di Kampung Simpang 3 Jeram di sini pada Khamis.

Sementara itu, aduan dan masalah itu mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Datuk Harrison Hassan yang turun meninjau kawasan kilang terbabit.

Harrison berkata, MPKS telah mengeluarkan kompaun terhadap kilang itu, namun tidak menjamin operasi dihentikan serta-merta.

Tegas beliau, pihaknya akan mengemukakan aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya juga akan menulis surat kepada pihak pengurusan di ibu pejabat kilang ini bagi menjawab aduan dikemukan penduduk dan langkah mengatasi masalah pencemaran berkenaan.

"Hasil lawatan saya ke kilang ini tidak menerima apa-apa jawapan menangani masalah ini, cuma kami diberikan penerangan tentang langkah-langkah jangka masa pendek sahaja, namun itu tidak mencukupi bagi penyelesaian jangka panjang," tambah beliau.

Harrison menambah, bagi penyelesaian jangka masa panjang, kilang terbabit perlu menyediakan sistem rawatan dan penapisan air bagi mengelakkan ia keluar ke parit berhampiran.

"Akibat tiada sistem saliran sistematik, air najis ini melimpah ke parit dan menyebabkan masalah apabila ia mengalir ke sistem saliran kampung dan perumahan penduduk.

"Ini bukanlah perkara baru, tetapi isu lama membelenggu penduduk hingga berlaku masalah kesihatan.

"Kita berharap JAS dapat menjalankan tindakan yang menyebabkan pencemaran itu berlaku di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS) 1974," tegas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!