Konstabel polis didakwa minta, terima rasuah tutup kes dadah

Seorang polis berpangkat konstabel (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas dua pertuduhan meminta dan menerima wang suapan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan berhubung penyalahgunaan bahan terlarang pada 2023.
Seorang polis berpangkat konstabel (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas dua pertuduhan meminta dan menerima wang suapan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan berhubung penyalahgunaan bahan terlarang pada 2023.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang polis berpangkat konstabel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas dua pertuduhan meminta dan menerima wang suapan sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan berhubung penyalahgunaan bahan terlarang pada 2023.

Bagaimanapun tertuduh, Abdul Aziz Mustapha, 32, mengaku tidak bersalah kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai anggota polis berpangkat konstabel di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut telah meminta suatu suapan bernilai RM2,000 daripada seorang lelaki yang merupakan suspek pertama sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan yang melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perbuatan itu dilakukan di bilik operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Besut antara jam 1 pagi hingga 2 pagi, pada 23 September 2023.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima rasuah sebanyak RM1,000 daripada seorang lagi lelaki sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan serta suspek pertama yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh (tengah) dibenar diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Tertuduh (tengah) dibenar diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Perbuatan itu dilakukan di tempat letak kereta di Medan Selera Kota Putera, Besut jam kira-kira 12.40 tengah hari pada 8 Oktober 2023.

Artikel Berkaitan:

Kesemua pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Zamry manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Abdul Rahman Ab Razak.

Sebelum itu, Mohd Fadhly mencadangkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan seorang penjamin, manakala Muhammad Abdul Rahman memohon ikat jamin yang rendah atas alasan anak guamnya yang telah berkahwin itu mengalami masalah kesihatan selain mempunyai tanggungan keluarga.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan arahan lapor diri ke pejabat SPRM berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 11 November depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!