1MDB: Keputusan Najib bebas atau bela diri 30 Oktober

Najib Tun Razak. Foto Bernama
Najib Tun Razak. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Nasib Datuk Seri Najib Tun Razak sama ada diperintah dibebaskan atau diperintah membela diri atas empat kes salah guna kedudukan untuk mendapatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion, akan diketahui 30 Oktober ini.

Jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie, maka bekas Perdana Menteri itu diperintah untuk membela diri.

Bagaimanapun, sekiranya pendakwaan gagal menimbulkan prima facie, bekas Presiden UMNO itu akan dibebaskan serta-merta.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan di akhir kes pendakwaan bermula 19 Ogos lalu yang berlangsung selama 12 hari.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak atas penghujahan yang teliti, saya akan menyampaikan keputusan itu pada hujung bulan ini," katanya.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Artikel Berkaitan:

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Selepas enam tahun didakwa, kes penyelewengan dana RM2.3 bilion milik syarikat 1MDB akhirnya tamat di Mahkamah Tinggi di sini pada 30 Mei lalu.

Ia selepas pihak pendakwaan menutup kes berkenaan sejurus semua 50 individu selesai memberi keterangan terhadap bekas pemimpin UMNO itu.

Prosiding di peringkat pendakwaan bermula pada 28 Ogos 2019 dan ia berlangsung selama 235 hari.

Pendakwaan menawarkan 49 orang saksi kepada pembelaan yang mewakili Najib tersebut.

Antara saksi itu ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Gabenor Bank Negara.

Saksi pendakwaan ke-50, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan yang sebelum ini melarikan diri ke luar negara dan kemudian menyerah diri kepada pihak berkuasa pada 7 Julai tahun lalu merupakan saksi terakhir dipanggil.

@sinarharianonline

1MDB: Keputusan Najib bebas atau bela diri 30 Oktober #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #1MDB #NajibRazak #Mahkamah

News - AShamaluevMusic

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!