Syed Saddiq mohon maaf fitnah bekas penasihat Najib
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat permohonan maaf di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis kerana memfitnah bekas penasihat Datuk Seri Najib Tun Razak, Habibul Rahman Kadir Shah pada tujuh tahun lalu.
Hakim Norakhmar Mohd Sani kemudian merekodkan penghakiman persetujuan berdasarkan permohonan maaf Syed Saddiq selaku defendan dan terma penyelesaian serta melapangkan tarikh perbicaraan yang dijadualkan bersambung Jumaat.
Semasa membacakan pernyataan maaf, Syed Saddiq, 32, yang berdiri dalam kandang saksi berkata, kenyataan fitnahnya telah mencemarkan reputasi dan imej pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Habibul Rahman.
“Saya kesal dan memohon maaf kerana menyebabkan pelbagai masalah dan kesulitan kepadanya.
“Pada sidang media tersebut, saya telah merujuk kepada ancaman yang dibuat terhadap diri dan keluarga menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Ketika itu, saya telah disesatkan oleh beberapa pihak menyebabkan saya percaya bahawa ia disebabkan Habibul Rahman,” kata bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.
Syed Saddiq yang juga bekas Naib Presiden Bersatu turut mengakui telah menerima maklumat yang mengelirukan mengenai pakar strategik korporat terbabit sedangkan fakta tersebut adalah palsu.
Susulan itu, Syed Saddiq berharap, permohonan berkenaan dapat membersihkan nama baik dan memulihkan hubungan profesional termasuk peribadi mereka.
Beliau berjanji tidak akan mengulangi kenyataan yang menyinggung atau kesat pada masa hadapan.
Sementara itu, peguam, Datuk Seri Dr Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang mewakili Habibul Rahman selaku plaintif berkata, dua pihak ini telah mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes secara baik dan defendan akan membuat permohonan maaf terhadap plaintif di mahkamah terbuka.
Perkara itu disahkan oleh peguam, Lim Wei Jiet yang mewakili Syed Saddiq.
Selepas prosiding, Habibul Rahman berkata, kebenaran akhirnya terbukti dan beliau menerima permohonan maaf daripada ahli politik itu.
Pada 16 November 2021, Habibul Rahman memfailkan saman terhadap Syed Saddiq di Mahkamah Tinggi di sini, namun kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen.
Habibul Rahman menyaman Syed Saddiq berhubung kenyataannya yang dibuat pada sidang media di sebuah hotel di sini pada 2 Oktober 2017.
Semasa sidang akhbar itu, Syed Saddiq mendakwa terdapat konspirasi yang disokong oleh pemimpin parti yang tidak dinamakan, untuk melemahkan Bersatu dengan mengancam atau merasuah pemimpinnya.
Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 27 Disember 2021, defendan mendakwa saman fitnah itu tidak berasas dan merupakan salah guna proses mahkamah.
Defendan antara lain menegaskan beliau tidak pernah membuat kenyataan fitnah terhadap plaintif semasa sidang media berkenaan.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga mendakwa reputasi Habibul Rahman tidak terjejas ekoran kenyataan itu kerana saman tersebut tidak difailkan sebaik saja sidang medianya dibuat.
Bagaimanapun, Habibul Rahman berkata, kenyataan Syed Saddiq dalam sidang media itu boleh difahami orang awam sebagai merujuk kepada dirinya.
Menerusi pemfailan yang dibuat pada 2 Januari 2022, plaintif berhujah, meski pun defendan menafikan laporan media mengenai sidang media itu ada menyebut namanya, Habibul Rahman mendakwa saudara-mara dan rakan-rakann terus bertanya kepadanya mengenai tuduhan itu sehinggalah 2021.
Habibul Rahman turut menafikan dakwaan Syed Saddiq bahawa saman sivil itu adalah untuk kepentingan politik atau tujuan ugutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!