BBP Gohtong Jaya perintis projek perkongsian pintar

Kor Ming (kiri) ketika mendengar penjelasan Kok Thay (tiga dari kiri) mengenai pembinaan balai tersebut di pusat peranginan tersebut.
Kor Ming (kiri) ketika mendengar penjelasan Kok Thay (tiga dari kiri) mengenai pembinaan balai tersebut di pusat peranginan tersebut.
A
A
A

BENTONG - Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gohtong Jaya, Genting dekat sini menjadi perintis projek perkongsian pintar di negara ini menerusi kerjasama strategik antara pihak kerajaan dan Genting Malaysia Berhad.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, pembinaan projek ini membabitkan kos RM68,378,401.05 dengan kerajaan memperuntukkan RM39 juta dan selebihnya hampir RM30 juta dibiayai Genting sebagai tanggungjawab sosial korporat(CSR).

Menurutnya, kerjasama itu harap dapat dicontohi oleh syarikat-syarikat swasta lain terutamanya syarikat tersenarai awam khususnya dalam pembangunan pembandaran baharu yang memerlukan balai bomba.

"Mereka juga digalakkan untuk tampil membantu kerajaan...maka kita akan singkatkan jangka masa, percepatkan segala proses demi kemudahan dan kepentingan awam.

"BBP Gohtong Jaya ini membuka lembaran sejarah dan akan memberi manfaat sekurang-kurangnya 300,000 hingga 500,000 penduduk bukan sahaja di sini malah meliputi kawasan Janda Baik, Bukit Tinggi termasuk juga sempadan Batang Kali, Selayang serta Lebuhraya Karak," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Khamis.

Kor Ming (tengah), Nor Hisham (dua dari kanan) dan Kok Thay (tiga dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian Majlis Pecah Tanah BBP Gohtong Jaya pada Khamis.
Kor Ming (tengah), Nor Hisham (dua dari kanan) dan Kok Thay (tiga dari kanan) menyempurnakan simbolik perasmian Majlis Pecah Tanah BBP Gohtong Jaya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah BBP Gohtong Jaya di Genting Xiantiandi Sales Gallery yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Ts Nor Hisham Mohammad dan Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Genting Malaysia Berhad, Tan Sri Lim Kok Thay.

Kor Ming berkata, berdasarkan Kajian Risiko Perlindungan Kebakaran dengan 20 markah Fire Cover di kawasan terbabit menunjukkan ia mempunyai risiko dan memerlukan capaian perkhidmatan kebombaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, projek itu pada asalnya merupakan projek pembangunan balai bomba dan kuarters yang telah diluluskan pada tahun 2021 di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dengan anggaran kos kira-kira RM39 juta.

"Namun realitinya apabila sampai ke tahun ini, kos meningkat hingga ke RM68 juta jadinya kita kekurangan kira-kira RM30 juta, maka Kerajaan Madani menggunakan formula baharu berjaya membentuk perkongsian pintar ini.

"Jadi bila siapnya balai ini, ia akan menjadi salah satu mercu tanda baharu buat JBPM. Setakat ini kita mempunyai 340 BBP dan apabila BBP Gohtong Jaya siap menjadi yang ke-341," tambahnya.

Beliau juga optimis balai itu dapat disiapkan dalam tempoh dua tahun lagi dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pembinaan balai dengan keluasan tanah kira-kira 0.8 hektar meliputi kemudahan antaranya kuarters bertaraf kondominium sebanyak 40 unit; dewan serbaguna dan makan serta surau.

Ia juga dijangka akan mengambil masa kira-kira 18 bulan dan kerja-kerja pembinaan bangunan dijadualkan bermula pada Januari 2025 yang dijangka siap sepenuhnya pada September 2027.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM147 juta dalam memperkasakan lagi perkhidmatan bomba untuk membeli 150 unit 'Compact Fire Fighting Rescue'.

Katanya, peralatan memadam api yang boleh mengangkut 2,000 liter air ini amat signifikan dalam operasi pemadaman kebakaran kerana boleh memasuki kawasan dan lorong yang kecil.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan khabar gembira iaitu JBPM akan menerima sumbangan 30 buah jentera bomba baharu bernilai RM60 juta daripada negara China sempena sambutan Jubli Emas hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun ini.

Katanya, jentera bomba moden yang akan dilengkapi dengan segala spesifikasi terkini yang diperlukan dijangka sampai bermula tahun depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!