NR-REE: Perak mampu jadi pengimbang kuasa monopoli China

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) ketika sesi lawatan ke pejabat Terra Mineral Lab pada Majlis Perasmian Terra Mineral Lab (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (Centre Of Excellence For Mineral Research) di sini pada Khamis. Foto Bernama
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) ketika sesi lawatan ke pejabat Terra Mineral Lab pada Majlis Perasmian Terra Mineral Lab (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (Centre Of Excellence For Mineral Research) di sini pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

GOPENG - Kejayaan projek perintis perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di mukim Kenering mampu menjadikan Perak sebagai pengimbang kuasa pengeluaran lantanid dunia yang kini dimonopoli oleh China.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kedudukan itu disokong dengan penubuhan Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) pertama seumpanya di Malaysia yang mengukuhkan kedudukan negeri dalam peta industri mineral global.

Menurutnya, pada masa kini lebih 85 peratus pengeluaran lantanid dunia dikuasai oleh China dan menerusi TML, Perak berada di landasan tepat untuk menyumbang kepada kepelbagaian rantaian bekalan global, sekali gus mengurangkan pergantungan dunia kepada suatu sumber.

"Kita akui China sebuah negara yang besar dan kita tidaklah sebesar itu, tetapi apabila ada penemuan mineral di luar China, jadi tidak ada satu negara yang akan memonopoli bermakna harga itu tidak akan ditentukan oleh sebuah negara sahaja.

"Dengan adanya pengeluaran di Malaysia atau mungkin negara lain seperti Myanmar, Kemboja dan Vietnam, ia memberi peluang kepada pengguna supaya tidak bergantung kepada satu sumber di dunia.

"Malaysia khususnya Perak boleh menawarkan sumber itu kepada dunia," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan TML dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) di Kawasan Perindustrian Gopeng di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak, Anuar Zainal Abidin.

Penubuhan TML dan CoE yang dikawal selia MB Inc iaitu sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah memulakan operasi, September lalu sebagai makmal komersial analisis mineral dengan pengkhususan serta kepakaran dalam analisis kepekatan dan kandungan NR-REE dan mineral-mineral lain.

Artikel Berkaitan:

Kemudahan penyelidikan yang dibangunkan dengan kos RM12 juta itu dilengkapi peralatan saintifik berteknologi tinggi bertaraf global termasuk Inductively Coupled Plasma Mass Spectrometry (ICP-MS), Wavelength Dispersive X-Ray Flourescense (WDXRF) dan Micro X-Ray Fluorescense (Micro-XRF).

Saarani berkata, TML sedang dalam proses mendapatkan akreditasi MS ISO/IEC 17025 daripada Jabatan Standard Malaysia sebagai langkah pertama yang akan mengiktirafnya sebagai makmal komersial utama negara dalam analisis mineral.

Katanya, makmal itu dikendalikan 15 pakar tempatan termasuk pegawai kimia kanan, pegawai kimia dan penolong pegawai kimia terdiri daripada individu berpengalaman dalam pengkhususan analisis mineral serta graduan universiti tempatan yang terlatih.

"Perlombongan NR-REE di negeri ini telah membuktikan potensi besar dalam industri tersebut apabila telah menjana royalti RM29.73 juta kepada kerajaan negeri.

"Namun potensi sebenar lantanid ini masih belum diteroka sepenuhnya. Dengan penubuhan TML dan CoE, kita mampu mempercepatkan proses penerokaan, analisis, dan seterusnya ke arah pemprosesan mineral yang lebih menyeluruh," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!