Muhyiddin tak dapat sambut ulang tahun perkahwinan di Uzbekistan

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan pasport untuk menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ke-52 di Uzbekistan.

Hakim, Azura Alwi memutuskan demikian selepas mendapati alasan Muhyiddin, 77, mahu mendapatkan dokumen perjalanan sementara itu sebagai tidak munasabah.

Beliau berkata, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) selaku pemohon berpeluang untuk bercuti atau meraikan mana-mana sambutan namun bukan di luar negara.

“Mahkamah mendapati permohonan itu tidak wajar untuk dibenarkan kerana pemohon masih boleh menjalani kehidupan atau menjalankan tugas seperti biasa," kata hakim itu.

Sementara itu, semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat membantah permohonan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mendapatkan kembali pasportnya yang disimpan di mahkamah.

Beliau menyifatkan, alasan mahu bercuti ke luar negara kerana mahu berehat dan menyambut ulang tahun perkahwinan sebagai tidak mustahak.

Sebaliknya Noralis berkata, tertuduh perlu mempunyai alasan yang munasabah, mendesak atau kritikal untuk mendapatkan dokumen terbabit.

“Alasan mahu bercuti di luar negara kerana tertekan dengan pertuduhan di mahkamah terutama pertuduhan di bawah Akta Hasutan adalah sangat remeh.

Artikel Berkaitan:

“Sedangkan sambutan ulang tahun perkahwinan dan percutian boleh dibuat di Malaysia,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong.

Sementara itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh memohon pelepasan sementara passport berikutan anak guamnya akan bertolak ke Uzbekistan pada Jumaat dan kembali semula ke tanah air, 12 Oktober.

Menurutnya, anak guam tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri kerana beliau merupakan presiden sebuah parti politik.

“Beliau perlu menghadiri sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung dari 14 Oktober hingga 12 Disember ini.

“Maka, anak guam saya akan memulangkan pasport kepada mahkamah ini menjelang hari pertama sidang Parlimen itu,” katanya.

Menerusi permohonan pelepasan pasport menyatakan, Muhyiddin dan isterinya ingin meneruskan perjalanan singkat ke Uzbekistan sebagai bentuk rehat dari pelbagai cabaran yang dihadapi.

Ia termasuk pertuduhan yang dihadapi Muhyiddin di bawah Akta Hasutan serta komitmen beliau dalam beberapa Pilihan Raya Negeri yang telah berlangsung selain ingin meluangkan masa bersama-sama isterinya sempena ulang tahun perkahwinan mereka pada 22 September ini.

Pada 11 September, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhyiddin bagi menyemak keputusan mahkamah itu sebelum ini, yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya.

Muhyiddin, 77, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan beliau untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Presiden Bersatu itu juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.

Muhyiddin juga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lepas tahun lepas atas pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!