'Saya hilang selera makan, menangis fikirkan Kak Chik' - Ibu

Siti Salmiah dan suaminya menunjukkan gambar Norasmidah yang menghilangkan diri sejak Isnin lalu.
Siti Salmiah dan suaminya menunjukkan gambar Norasmidah yang menghilangkan diri sejak Isnin lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Ibu kepada Norasmidah Syamsul Bahari, 20, yang menghilangkan diri sejak Isnin lalu resah memikirkan keselamatan anaknya yang masih belum ditemui sehingga kini.

Siti Salmiah Mansor, 47, berkata, kehilangan Norasmidah atau lebih mesra disapa 'Kak Chik' menyebabkan dia tidak lena tidur dan sering terjaga pada waktu malam.

"Sebagai ibu, siapa yang tidak sayangkan anak, saya sendiri tak ada selera hendak makan, sering termenung dan menangis kerana teringatkan Kak Chik.

"Kak Chik, pulanglah ke pangkuan kami, janganlah merajuk kerana setiap teguran kami hanya untuk kebaikan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kuching Tengah di sini pada Khamis.

Menurut Siti Salmiah, anak ketiga daripada enam beradik itu sebelum ini pernah melarikan diri dari rumah ketika berusia 18 tahun.

"Dia (Kak Chik) pernah keluar rumah tapi hanya sehari sahaja, tetapi kali ini dia tekad untuk menjauhkan diri daripada keluarga.

"Naluri saya yakin Kak Chik masih ada di Selangor ini, namun saya merayu pulanglah dan beritahu kami Kak Chik berada di mana?," tambahnya.

Siti Salmiah berkata, keluarganya juga sudah beberapa kali berusaha menghubungi Norasmidah, namun anak perempuannya itu gagal dihubungi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bapa Norasmidah, Syamsul Bahari Abdul Karim, 42, berkata, usaha pencarian dilakukan sehingga ke Sungai Buloh, Damansara serta Puchong.

Dia berkata, seorang rakan anaknya memberitahu, Norasmidah ada menghubunginya untuk meminjam wang pada hari kejadian.

"Saya dapat maklumat daripada rakan wanita Kak Chik maklumkan dia ingin meminjam duit bagi membayar kenderaan e hailing dinaikinya di Puchong.

"Namun, rakan maklumkan dia tidak dapat memberikan pinjaman kerana tiada wang ketika itu, namun sejak dari itu Kak Chik gagal dihubungi," ujarnya.

Syamsul Bahari berkata, selain itu, dia juga berusaha menunaikan solat hajat setiap hari bagi mendoakan keselamatan Norasmidah.

"Pelbagai ikhtiar dan usaha saya lakukan termasuk menggunakan kaedah pengamal perubatan tradisional bagi menjejak Kak Chik.

"Saya berharap dia pulang dan lebih membimbangkan tidak mahu sesuatu buruk berlaku ke atas Kak Chik lebih-lebih lagi dengan pelbagai kes hilang yang pernah berlaku sebelum ini," tambahnya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, Norasmidah menghilangkan diri dari tempat tidur di rumahnya di Kampung Bukit Kuching Tengah di sini sejak Isnin lalu.

Sehubungan itu, katanya, keluarga merayu mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan Norasmidah menghubunginya di talian 011-37985062 atau 018-3191475 (Salmiah).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!