62 kes salah guna darjah kebesaran, lambang dan nama direkod
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 62 kes melibatkan kesalahan salah guna darjah kebesaran, lambang dan juga nama sejak 2022 hingga Ogos tahun ini.
Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perundangan), Senior Asisten Komisioner Abd Rahman Atan berkata, kes berkenaan melibatkan kesalahan di bawah Akta 787 dan Akta 414.
Menurutnya, sebanyak 13 kes disiasat di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) manakala 49 kes di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), malah ada yang sudah berjaya dituduh di mahkamah.
"Akta 414 melibatkan lambang dan juga nama. Jadi jika terkesan kesalahan kita akan gunakan Akta 787 dan Akta 414.
"Sudah tentu bila libatkan kesalahan anugerah di negeri, kita akan menyiasat di enakmen negeri masing-masing," katanya ketika menjadi panelis Forum Akta 787 Memelihara Kemuliaan Darjah Kebesaran di sini, pada Khamis.
Forum yang dianjurkan buat pertama kali itu turut menampilkan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan I, Jabatan Peguam Negara, Datuk Rozali Che Ani dan Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Datuk Dr Shamrahayu Abdul Aziz sebagai panelis.
Sementara itu, Majlis Datuk Dato' Malaysia (MDDM) mendedahkan menerima sehingga 30 aduan setiap bulan berhubung tindakan salah guna darjah kebesaran dan gelaran palsu digunakan oleh pelbagai pihak untuk kepentingan peribadi.
Setiausaha Agung MDDM, Datuk Samson David Maman berkata, boleh dikatakan hampir setiap hari aduan berhubung salah laku berkenaan diterima melalui pelbagai saluran menunjukkan betapa seriusnya isu penyalahgunaan tersebut.
Ujarnya, MDDM berperanan memastikan mereka yang membuat aduan juga membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
"Hampir setiap hari saya terima aduan mereka yang meminta bantuan, aduan melalui email, panggilan telefon, aplikasi WhatsApp, dan gambar. Sebanyak 20 hingga 30 laporan diterima.
"Jadi kita bantu mereka apa yang perlu dibuat, tapi mereka sendiri perlu buat laporan polis agar kes dapat disiasat.
"Jika mereka tidak mahu buat laporan, jangan lapor kepada kami sebab kita tak dapat lakukan apa-apa. Tapi kita akan sokong bila mereka buat laporan polis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!