Rintihan pengawal keselamatan tuntut tunggakan gaji

Pengawal keselamatan tuntut tunggakan gaji mereka.
Pengawal keselamatan tuntut tunggakan gaji mereka.
A
A
A

NILAI - Seramai 57 pengawal keselamatan merasakan tertindas apabila mendakwa majikan mereka masih belum menjelaskan tunggakan gaji 12 hari berserta tuntutan RM4,000 seperti mana diarahkan oleh Jabatan Tenaga Kerja(JTK).

Keadaan itu menyebabkan sebahagian mereka hidup dalam keadaan tertekan, malah ada yang terpaksa meminjam along bagi menjelaskan sewa rumah dan segala bil, sementara menunggu wang tersebut diterima.

Wakil pekerja, S Uthaya Kumar, 29, berkata, mereka bekerja dengan syarikat terbabit sejak Jun tahun lalu dan ditempatkan di beberapa lokasi di bawah Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

"Masa awal bekerja itu tiada masalah, tapi bermula bulan Jun tahun ini, mula timbul masalah dan syarikat itu telah menamatkan kontrak mereka dengan MBS.

"Keadaan itu menyebabkan ramai yang hilang kerja dan hidup dalam keadaan tertekan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Jelasnya, mereka telah membuat aduan kepada JTK pada 18 Jun lalu dan syarikat terbabit telah diarahkan membayar tunggakan gaji pekerja selama 12 hari berserta tuntutan RM4,000 sebelum 15 September lalu.

Bagaimanapun katanya, sehingga kini syarikat itu masih belum membuat apa-apa bayaran.

"Kita rujuk semula dengan JTK dan jabatan itu telah mengeluarkan surat amaran kepada syarikat untuk menyelesaikan perkara terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Pada awal isu ini berlaku, kita turut menghantar surat kepada MBS dan Exco berkaitan untuk membantu menyelesaikan masalah ini, sehinggalah JTK mengeluarkan arahan supaya syarikat menjelaskan segala tunggakan," katanya.

Sehubungan itu, mereka berharap JTK dapat memberi perhatian kepada isu tersebut.

Sementara itu, M Kamalveni, 42, berkata, dia sudah 15 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan pelbagai syarikat, namun pertama kali berdepan dengan isu berkenaan.

Katanya, dia sangat mengharapkan wang tersebut bagi membolehkannya membayar sewa rumahnya yang tertunggak tiga bulan.

Seorang ibu tunggal berusia 58 tahun pula terpaksa meminjam along sebanyak RM2,500 untuk menyelesaikan bayaran sewa rumahnya berserta segala bil.

"Saya ingat nanti bila dah terima wang tuntutan, bolehlah saya bayar terus hutang along itu, tapi sehingga kini tiada apa-apa diterima.

"Saya sangat susah hati sekarang apabila memikirkannya dan berharap syarikat dapat bayar gaji yang tertunggak dan tuntutan RM4,000 yang diputuskan JTK," katanya.

Ibu kepada tujuh anak itu berkata, kehidupannya agak susah, malah anak bongsunya berusia 18 tahun terpaksa batalkan hasrat menyambung pembelajaran di institut pengajian tinggi kerana masalah kewangan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!