Radius pencarian nelayan terjatuh laut diluaskan 40 batu nautika

Angggota Maritim Malaysia menjalankan usaha mencari mangsa yang masuk hari keempat di sekitar perairan Batu Laut, Tanjung Sepat di sini pada Khamis.
Angggota Maritim Malaysia menjalankan usaha mencari mangsa yang masuk hari keempat di sekitar perairan Batu Laut, Tanjung Sepat di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA LANGAT - Usaha mencari dan menyelamat seorang nelayan yang dilaporkan terjatuh laut diluaskan kira-kira 40 batu nautika melibatkan kawasan sekitar perairan Batu Laut, Tanjung Sepat di sini pada Khamis.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, usaha pencarian mangsa masuk ke hari keempat dengan melibatkan kerjasama dari pelbagai agensi.

"Usaha mencari dan menyelamat mangsa menggunakan pelbagai aset Maritim Malaysia Selangor serta turut dibantu Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).

"Pencarian mangsa sebelum ini melibatkan keluasan sekitar 14 batu nautika telah diperluaskan kepada 40 batu nautika di sekitar perairan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Katanya, pencarian dijalankan turut berdepan dengan keadaan cuaca yang tidak menentu selain laut bergelora.

"Usaha mencari dan menyelamat mangsa berdepan kesukaran apabila keadaan angin kencang disusuli dengan hujan lebat.

"Operasi tidak ditangguhkan cuma ia melambatkan usaha pencarian mangsa yang dijalankan setakat ini," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang nelayan warga tempatan dikenali sebagai K.Kesavan dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar ke laut bersama rakannya dengan menaiki sebuah bot.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang memakai baju kolar belang merah putih serta berseluar pendek berwarna gelap itu dilaporkan terjatuh laut selepas besi yang dipegang berhampiran kemudi bot dinaiki telah patah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!