'Little Gorrila' tawan Melaka

De Kleijn menjuarai peringkat kelima dari Kuala Lumpur ke Melaka. Foto LTdL
De Kleijn menjuarai peringkat kelima dari Kuala Lumpur ke Melaka. Foto LTdL
A
A
A

PELUMBA Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn sekali lagi mempamerkan taring apabila muncul juara peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) dari Kuala Lumpur ke Melaka, pada Khamis.

Dia yang masih segar dengan kejuaraan peringkat keempat dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong, pada Rabu tidak berdepan masalah untuk menamatkan saingan di Melaka dengan catatan masa tiga jam 35 minit dan 30 saat (s).

Pelumba yang terkenal dengan gelaran 'Little Gorilla' itu menidakkan cabaran dijelmakan Matteo Malucelli dari JCL Team UKYO di tempat kedua dan pakar pecut Astana Qazaqstan, Gleb Syritsa di kedudukan ketiga.

Menurut de Kleijn, peringkat kelima hari ini disifatkan sebagai perlumbaan sempurna hasil bantuan daripada rakan sepasukan sepanjang sekali gus berjaya meraih kemenangan dalam perlumbaan sejauh 167.3 kilometer itu.

"Saya juga merasakan seperti seorang pakar pendakian (selepas melalui tiga zon pendakian di Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mantin). Saya sedikit bergelut namun rakan sepasukan hadir membantu saya," katanya.

Dalam pada itu, pelumba dsm-firmenich PostNL, Max Poole masih kekal menyarung Jersi Hijau dengan mengumpul masa 16:33:04s, diikuti Thomas Pesenti dari JCL Team UKYO (0:15).

Untuk persaingan raja pecut (Jersi Jingga) masih diungguli Malucelli yang berkelebihan satu mata (46 mata) berbanding de Kleijn yang memungut 45 mata.

Jersi Polka Dot (Raja Bukit) kekal milik pelumba Burgos-BH, Mario Aparicio dengan mengumpul 27 mata, diikuti Poole 22 mata dan Anthon Charmig dari Astana Qazaqstan (22 mata).

Artikel Berkaitan:

Manabu Ishibashi dari JCL Team UKYO kekal menyarung Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia dengan catatan 16:35:22s diikuti Keigo Kusaba (Aisan Racing Team) di tempat kedua, 16:37:59s.

Perlumbaan peringkat keenam pada Jumaat akan bermula dari Batu Pahat dan berakhir di Kulai dengan jarak 123.4km, dengan menawarkan tiga zon pecutan di Senggarang, Rengit dan Bukit Batu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!