Pesara guru rugi RM120,000 diperdaya Macau Scam
KUANTAN - Seorang pesara guru di sini sanggup memindahkan wang tunai berjumlah RM120,000 kepada anggota sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis, pada 30 Disember lalu.
Wanita berusia 83 tahun bertindak sedemikian kerana terlalu takut apabila dikatakan terlibat dengan perjudian dalam talian.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, perkara itu diketahui selepas mangsa menerima panggilan daripada nombor 09-2961724 dan diberitahu talian rumahnya itu akan ditamatkan dalam masa dua jam.
Menurutnya, mangsa kemudian diminta untuk menekan butang sembilan sebelum disambungkan kepada seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Amira Mohd yang mendakwa sebagai kakitangan Telekom Malaysia (TM).
"Selepas membuat semakan mendapati akaun telefon mangsa pernah didaftarkan bagi tujuan perjudian dalam talian, kemudian talian berkenaan disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai Koperal Azmid selepas mangsa menafikannya.
"Mangsa mengadakan perbincangan dengan Koperal Azmid dan selepas itu panggilan disambung pula kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Mazlan.
“Hasil semakan, Inspektor Mazlan memakluman bahawa mangsa juga terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan perlu direman serta merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Wazir berkata,tidak terhenti di situ, panggilan terbabit disambungkan lagi kepada wakil Bank Negara sebelum bercakap dengan seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Razak.
Jelasnya, Razak memberi arahan kepada mangsa untuk membuat pindahan wang ke dalam akaun yang diberikan kononnya untuk tujuan keselamatan.
“Mangsa kemudian membuat lapan kali pindahan wang ke empat akuan diberikan suspek.
"Kesemua pindahan wang itu dibuat bermula 3 Disember lalu hingga Selasa lalu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM120,000. Bagaimanapun selepas itu mangsa masih dihubungi suspek yang masih meminta dia membuat pindahan wang," kataya.
Dalam pada itu, Mohd Wazir berkata, mangsa yang menyedari dirinya ditipu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh semalam.
Menurutnya, modus operandi suspek adalah dengan menyamar sebagai pegawai polis dan menawarkan bantuan kepada mangsa sehingga mendorongnya memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun suspek.
"Polis sudah mengambil keterangan mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!