95 lantikan politik di bawah Kerajaan Perpaduan - IDEAS

Aira Azhari
Aira Azhari
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) mengenal pasti terdapat sebanyak 95 lantikan politik dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, jumlah tersebut bagaimanapun menunjukkan angka lebih kecil berbanding dua pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menurutnya, data berkenaan diperoleh hasil penelitian terhadap 135 badan berkanun dan 283 GLC sepanjang lima pentadbiran terkini iaitu dari Perdana Menteri ke-6 (PM6), Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga ke pentadbiran PM10 yang sudah memasuki tempoh 22 bulan.

“Dapatan kami menunjukkan bahawa jumlah pelantikan politik tertinggi dikesan semasa tempoh pentadbiran Datuk Seri Najib sebagai Perdana Menteri iaitu seramai 301 orang.

“Ia diikuti pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri (273 pelantikan) dan Tan Sri Muhyiddin (186 pelantikan) walaupun kedua-duanya berkhidmat dalam tempoh yang agak singkat, masing-masing selama 15 bulan dan 17 bulan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Sementara itu, berdasarkan dapatan analisis, ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2018 hingga 2020, hanya 86 lantikan politik dibuat.

Analisis mendapati jumlah pelantikan politik tertinggi sepanjang lima era pentadbiran Perdana Menteri terdahulu datangnya daripada UMNO, diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Lantikan politik daripada Pas pula adalah seramai 53 orang, diikuti DAP (45 orang), MCA (43 orang), PKR (33 orang), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (22 orang) serta 15 orang daripada Parti Amanah Negara (Amanah).

Artikel Berkaitan:

Justeru, Aira berkata, IDEAS menggesa kerajaan agar melaksanakan reformasi proses pelantikan untuk memastikan pengarah yang berkelayakan dan bebas dilantik mengawasi entiti tersebut.

Beliau berkata, kewujudan berterusan pelantikan politik dalam badan berkanun dan GLC menekankan pengaruh politik yang mendalam terhadap sektor tadbir urus utama sektor awam Malaysia.

“Malaysia kini kekurangan mekanisme pelantikan yang telus dan berasaskan merit. Pelantikan boleh digunakan untuk kepentingan politik dan memberikan jawatan.

“Ini boleh mengakibatkan pemantauan dan pengurusan yang lemah terhadap entiti ini, seterusnya menghakis kepercayaan awam terhadap struktur tadbir urus Malaysia.

"Ahli Parlimen boleh mengawasi prestasi badan berkanun dan GLC melalui jawatankuasa parlimen, bukan dengan menduduki jawatan dalam lembaga pengarah entiti ini,” ujar beliau.

IDEAS bekerjasama dengan MyMP iaitu laman web yang menyediakan maklumat mengenai ahli Parlimen di Malaysia dalam menjalankan kajian itu.

Dapatan berkenaan dikemas kini dan dimuat naik di laman web www.pantaukuasa.com.

Mereka mengelaskan sesuatu itu sebagai lantikan politik iaitu melibatkan pemegang anggota Parlimen, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun), pemimpin parti serta calon yang kalah pilihan raya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!