Keluarga Sabari buat solat jenazah ghaib

Isteri mangsa, Subhiah Ruslina Shahibi, 57, bersama ahli keluarga ketika melawat lokasi kejadian, iaitu di Jambatan Kampung Empa, Derang. Foto Bernama
Isteri mangsa, Subhiah Ruslina Shahibi, 57, bersama ahli keluarga ketika melawat lokasi kejadian, iaitu di Jambatan Kampung Empa, Derang. Foto Bernama
A
A
A

JITRA - [DIKEMAS KINI] Keluarga pesara pegawai kewangan Felcra Sabari Baharom, 62, akan mengadakan solat jenazah ghaib susulan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Padang Terap dekat sini dihentikan pada petang Rabu.

Isterinya, Subhiah Roslina Shahibi, 57, berkata, pihak keluarga akan menguruskan perkara itu sejurus beliau tiba di Kuala Lumpur nanti.

"Pihak Felcra, biro agama, surau dan masjid tempat arwah tinggal pun dah mula buat solat jenazah ghaib. Keluarga kami reda SAR dihentikan. Tapi jika orang-orang kampung masih nak berusaha teruskanlah (pencarian)," katanya kepada pemberita selepas melawat Jambatan Sungai Empa dekat sini bersama ahli keluarganya.

Subhiah Roslina yang juga petugas Felcra mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi SAR dan bersyukur kerana berpeluang mengikuti operasi itu sehingga tamat semalam.

Media sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 September lepas dan kereta Proton Waja dinaikinya ditemukan hangus di Belantik, Sik.

Polis pada Isnin mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat dan dua lelaki berusia 26 serta 38 tahun ditahan Jumaat lepas bagi membantu siasatan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!