Rasuah penjawat awam perlu ditangani segera
SHAH ALAM - Kes rasuah yang berlaku di negara ini terutamanya melibatkan penjawat awam perlu ditangani dengan cekap dan segera agar keyakinan rakyat kepada mereka tidak goyah.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, semua pihak perlu cakna dan memberi kerjasama berterusan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasaan dalam usaha memerangi rasuah.
Menurutnya, ia amat penting bagi memastikan ekonomi negara kekal stabil dan rakyat tidak perlu menanggung kos ketirisan ekonomi yang jelas akan membebankan mereka.
"Amalan rasuah semakin tenat dan perlukan kesedaran meliputi semua pihak tidak kira dari mana lapangan sekali pun.
"Walaupun hukuman yang sedia ada sudah cukup menggerunkan namun faktor luaran menyebabkan pelaku terjerumus dalam amalan rasuah," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum itu, berdasarkan statistik SPRM bagi tempoh 2020 hingga 2024, sebanyak 30,483 maklumat berkaitan isu rasuah telah diterima, dan daripada jumlah itu, 17,892 atau 58 peratus membabitkan penjawat awam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sepanjang tempoh tersebut, SPRM telah membuka 2,123 kertas siasatan dan melakukan tangkapan terhadap 2,046 penjawat awam.
Tambahnya, sebanyak 1,036 pertuduhan telah dibawa ke mahkamah, manakala 464 penjawat awam telah disabitkan bersalah.
Justeru, tegas Hamdan Daniel, penjawat awam haruslah berterusan membina jati diri dan integriti yang tinggi agar kes seumpama itu tidak terus meningkat dari semasa ke semasa.
"Jika kita semua ada integriti yang tinggi tidak mustahil kes rasuah akan menurun dan sifar di dalam negara ini.
"Maka dengan itu, dapatlah kita menjaga imej baik penjawat awam kepada rakyat Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!