Budu jadi hadiah 'surprise'
KOTA BHARU – Perniagaan sebagai ‘surprise planner’ (perancang kejutan) bukanlah satu perkara yang pelik masa kini, tambahan lagi pelbagai trend terbaru dilakukan untuk membuat kejutan sempena hari jadi, ulang tahun perkahwinan dan sebagainya.
Mohd Afizi Ibrahim, 36, misalnya memberitahu, dia pernah diminta untuk menyediakan satu tempahan iaitu set bahan asas masakan sempena majlis hari jadi ibu kepada pelanggannya.
Pada mulanya dia hanya menyangka permintaan tersebut hanya satu gurauan daripada pelanggannya, namun setelah bayaran dilakukan, barulah dia tahu yang tempahan tersebut bukan satu mainan.
“Dia minta saya hantar budu, kicap, sos, perencah masakan yang dimasukkan ke dalam kotak hadiah bersama gubahan bunga. Pada mulanya saya ingat dia bergurau, banyak kali saya tanya, takut saya silap dengar.
"Dia (pelanggan) sediakan senarai, saya pun ke kedai untuk beli semua keperluan masakan itu. Alhamdulillah, saya lakukan sebaik mungkin demi kepuasan hati pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Afizi yang memulakan perniagaan sebagai Suprise Planner sejak 2016 memberitahu, kepuasan hati pelanggan adalah keutamaannya dan sebagai ‘orang tengah’, dia dan isteri, Fatma Mohd, 36 sentiasa bersedia dengan pelbagai permintaan pelanggan dari dalam dan luar negara.
Menurutnya, sebelum ini kerjaya sebagai ‘suprise planner’ ini hanya dilakukan isterinya memandangkan dia bekerja di sebuah kedai jualan di sini.
Bagaimanapun, dengan sambutan yang menggalakkan, dia terpaksa membuat keputusan berhenti bekerja dan memberi sepenuh perhatian untuk membantu isterinya menjalankan perniagaan tersebut.
“Sebelum ini saya akan tolong isteri jadi ‘runner’ selepas habis waktu kerja. Tapi dia tidak mampu buat seorang, jadi saya berhenti kerja dan buat perniagaan ini sepenuh masa sejak beberapa tahun lalu.
“Sejak memulakan perniagaan ini, kami sudah memiliki lebih 1,000 pelanggan tetap di negeri ini. Termasuklah mereka yang berada di luar negara.
"Mereka akan ‘bank-in’ duit, dan saya akan buat apa yang mereka mahu. Ada juga anak beri hadiah pada ibu bapa, anak berada di luar negara. Jadi sayalah yang sampaikan dan hantar gambar pada mereka. Alhamdullilah, setakat ini saya buat apa yang saya mampu. Terbaik untuk mereka.
Lelaki yang mempunyai kedai di kawasan Tunjong itu memberitahu, sebelum ini dia memulakan perniagaan dengan menjual belon gas dan gubahan bunga semata-mata namun bagi mengikut trend semasa, kini dia meluaskan perniagaan dengan membuat gubahan bunga menggunakan duit kertas yang menjadi kegilaan ramai masa kini.
“Saya banyak buat kajian dan tengok beberapa Instagram sebagai rujukan dan dari situlah timbul idea menarik. Saya juga mempunyai kumpulan ‘suprise planner’ sendiri.
“Jika saya tidak mampu memenuhi kehendak pelanggan, saya akan tawarkan kepada rakan-rakan seperniagaan saya. Rezeki perlu dikongsi. Jangan takut untuk berjaya bersama-sama, Insya-ALLAH keberkatannya berganda,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!