UMNO Johor perlu contohi kepimpinan MB Selangor, Perak - Najwan

Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Nur Jazlan pada Khamis. Gambar kecil: Mohd Najwan
Laporan Sinar Harian mengenai kenyataan Nur Jazlan pada Khamis. Gambar kecil: Mohd Najwan
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO Johor boleh mempelajari cara kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd Najwan Halimi berkata, UMNO hanya menang dua kerusi di Selangor namun atas semangat perpaduan, ADUN dari UMNO turut dilantik menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Menurutnya, walaupun PH menang 24 kerusi di Perak namun atas semangat perpaduan, jawatan Menteri Besar diserahkan kepada ADUN dari BN yang hanya sekadar menang sembilan kerusi.

"Belajarlah berpolitik dengan matang dan budiman.

"Kita kuat bukan kerana dengan hanya pandai bercakap dan sekadar jadi pahlawan kesiangan, kita kuat jika bersatu dan menyelesaikan perbezaan secara rundingan dan menghormati satu sama lain, " katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Pada Khamis, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed melabel Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti 'lebih sudu daripada kuah’ berkenaan pembentukan Kerajaan Perpaduan di Johor.

Nur Jazlan menerusi kenyataan di Facebook turut memberikan pandangan PKR dan Amanah bukan parti penting atau layak duduk semeja dalam permainan ‘poker politik’ di peringkat persekutuan mahupun Johor.

Najwan yang juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor menasihati pemimpin politik agar tidak bersikap angkuh dan sombong susulan terdapat kenyataan sinis yang meremehkan peranan gabungan parti lain.

Artikel Berkaitan:

"Saya menekuni pandangan serta kenyataan beberapa pimpinan UMNO pasca Pilihan Raya Kecil DUN Mahkota yang bersifat mengkal dan tidak menambah nilai dalam kerjasama politik antara PH dan BN sebagai gabungan utama yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

"Realitinya, tiada satu pun parti politik yang dominan dan layak mendabik dada sebagai parti utama selepas PRU ke-15 lalu.

"Juga tiada satu gabungan pun berupaya membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan. Bahkan BN sendiri tak berupaya membentuk kerajaan secara bersendirian di negeri Perak dan Pahang," katanya.

Katanya, sewajarnya keutamaan sebagai pimpinan parti PH dan BN mencari titik temu dalam memantapkan lagi kerjasama dan hubungan antara keduanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!